KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia menggerakkan aset udara dan anggota bagi membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan yang mencetuskan jerebu rentas sempadan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bantuan yang ditawarkan merangkumi sebuah pesawat Bombardier, tiga helikopter dan 52 anggota bagi menyokong operasi memadam kebakaran di negara jiran itu.
Walaupun jumlah aset dan anggota Malaysia terhad berbanding keseluruhan operasi di Indonesia, beliau menegaskan komitmen negara untuk membantu menangani krisis yang turut memberi kesan kepada Malaysia, Singapura dan Timor-Leste.
Menurut Ahmad Zahid, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga telah menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berhubung tawaran bantuan tersebut. Malaysia bersedia menggerakkan aset dan anggota sebaik urusan penyelarasan serta kelulusan rasmi berkaitan dimuktamadkan.
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut memperkukuh persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang berisiko membawa banjir. Kerjasama antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan diteruskan, termasuk mengoptimumkan sistem amaran awal bagi membolehkan pemindahan mangsa dilakukan lebih awal.
Sumber : Malaysia Gazzette









