JAKIM Dapatkan Penjelasan Marhamah Berhubung Isu New Age Movement
SHAH ALAM – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil langkah mendapatkan penjelasan secara langsung daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berhubung dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran New Age Movement (NAM).
Susulan isu berkenaan, satu sesi pertemuan dan tabayyun diadakan bersama Marhamah dengan penglibatan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) JAKIM serta pihak berkaitan.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, sesi tersebut bertujuan memastikan isu berkenaan diteliti berdasarkan disiplin akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM.
Menurut beliau, JAKIM turut memberi penekanan supaya sebarang kandungan atau pendekatan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap akidah diperbetulkan dan dimurnikan.
Pada masa sama, pengisian berkaitan agama perlu sentiasa berasaskan disiplin ilmu Islam serta mengambil kira pandangan pihak berautoriti.
Sirajuddin berkata, perkara itu telah diberi perhatian serius dan melalui proses siasatan menyeluruh bagi mendapatkan pandangan serta penelitian berdasarkan disiplin ilmu dengan penglibatan autoriti yang bersesuaian.
Isu tersebut sebelum ini tercetus susulan dakwaan yang disebarkan, termasuk menerusi halaman Facebook atas nama Masyitah Ashari, yang mengaitkan Marhamah dengan amalan perdukunan, sihir, azimat dan NAM.
Marhamah sebelum ini menafikan segala tohmahan berkenaan dan memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan itu untuk menarik balik penerbitan, menghentikan penyebaran serta membuat permohonan maaf dan pembetulan secara terbuka.
Dalam perkembangan sama, JAKIM berkata pihaknya mengambil perhatian terhadap persoalan yang dibangkitkan masyarakat berhubung isu tersebut.
Menurut Sirajuddin, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui JAKIM kekal dengan pendirian tegas untuk menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bertentangan dengan syarak serta prinsip akidah Islam.
Bagaimanapun, masyarakat turut diingatkan supaya tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan bahan yang beredar tanpa pengesahan atau kandungan yang mungkin dipetik di luar konteks.
JAKIM menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan amanah dalam memelihara kesucian akidah umat Islam secara tegas, berhemah dan berasaskan ilmu serta autoriti agama.
Sumber : Sinar Harian
Foto : BERNAMA
