NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Jual MC Palsu RM50-RM200, Jururawat Klinik Kerajaan Antara 5 Direman

PEKAN – Lima individu termasuk seorang jururawat wanita yang bertugas di sebuah klinik kerajaan direman bagi membantu siasatan berhubung sindiket penjualan sijil cuti sakit (MC) dipercayai palsu di daerah ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Melody Woon Sze Mun selepas membenarkan permohonan pihak polis terhadap kesemua suspek yang ditahan dalam operasi khas baru-baru ini.

Empat daripada suspek dibenarkan direman selama empat hari sehingga 19 Jun, manakala seorang lagi direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Kegiatan tersebut terbongkar selepas Pejabat Kesihatan Daerah Pekan menerima maklumat pada 12 Mei lalu mengenai penjualan sijil cuti sakit yang dipercayai melibatkan pekerja sebuah kilang di daerah berkenaan.

Susulan maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menahan lima individu berusia antara 30 hingga 55 tahun dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Pekan pada 15 Jun.

Siasatan awal mendapati tiga daripada mereka dipercayai bertindak sebagai orang tengah, seorang penjawat awam disyaki membekalkan sijil MC tidak sah, manakala seorang lagi dipercayai mendapatkan serta menggunakan dokumen berkenaan.

Hasil semakan lanjut mendapati sijil cuti sakit yang digunakan memaparkan nama dan cop milik seorang pegawai perubatan yang telah bertukar tempat bertugas sejak tahun 2023.

Polis turut mendapati nombor siri yang tertera pada sijil berkenaan merupakan sebahagian daripada buku MC rasmi yang telah diedarkan kepada sebuah klinik kerajaan di daerah itu.

Siasatan juga mendapati sijil MC terbabit dipercayai dijual pada harga antara RM50 hingga RM200 sekeping menerusi rangkaian individu yang berperanan sebagai orang tengah untuk mendapatkan pelanggan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi tujuan menipu serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *