ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

PolitikTerkini

Kemelut N9 Makin Panas? 25 ADUN Jumpa Zahid

KUALA LUMPUR – Seramai 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Wawasan Negara dijadualkan untuk membuat pertemuan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan langkah penyelesaian terhadap kemelut yang sedang berlaku di Negeri Sembilan.

Pertemuan itu berlangsung di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur yang dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama 24 lagi ADUN.

Sebelum pertemuan tersebut, Ahmad Zahid memaklumkan beliau akan mengadakan perbincangan bersama kesemua 25 ADUN bagi menyelaras langkah seterusnya dan mendengar cadangan masing-masing berhubung situasi semasa yang berlaku di negeri tersebut.

Menurut beliau, beberapa pilihan akan dibincangkan sebelum penyelesaian ditentukan dengan mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri serta adat dan peraturan yang terpakai di Negeri Sembilan.

Pertemuan itu turut dilihat sebagai langkah untuk mencari jalan penyelesaian di peringkat negeri susulan perkembangan berkaitan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, antara yang hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta tiga bekas Exco kerajaan negeri yang pelantikannya dibatalkan pada 20 September lalu.

Mereka ialah ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli, ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata perbincangan tersebut diadakan bukan bertujuan untuk campur tangan, sebaliknya bagi menyelaraskan usaha dan mendapatkan pilihan terbaik untuk menangani kemelut yang berlaku di negeri itu.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang langkah yang diambil perlu mengutamakan kepentingan rakyat serta mematuhi undang-undang tubuh negeri dan adat Negeri Sembilan.

Sumber: Malaysia Gazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *