Hadi Selar 4 Pemimpin Melayu DAP, Dakwa Mereka ‘Tidak Berpelajaran’
PETALING JAYA – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan empat pemimpin Melayu DAP sebagai “tidak berpelajaran” susulan kritikan mereka terhadap kenyataannya yang didakwa mempergunakan Islam untuk kepentingan politik.
Hadi berkata kenyataan beliau di media sosial yang mendakwa DAP mahu mengembalikan Perlembagaan Persekutuan kepada fahaman sekular adalah berdasarkan nas Islam, Perlembagaan Persekutuan serta kenyataan pemimpin parti itu sebelum ini.
“Empat pemimpin Melayu DAP yang menuduh saya mempergunakan Islam untuk kepentingan politik melalui tulisan saya itu tidak berpelajaran.
“Mereka bukan orang yang berilmu,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam hantaran di Facebook dua hari lalu, Ahli Parlimen Marang itu mendakwa DAP berusaha mengembalikan Perlembagaan Persekutuan kepada fahaman sekular selain mengagungkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).
Beliau turut mendakwa cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar bertujuan mengusir orang Melayu miskin dari kediaman mereka atas nama pembangunan semula bandar.
Hadi juga mendakwa sekularisme merupakan ajaran menyeleweng yang dibawa oleh penjajah Barat, manakala DAP pula berpendirian bahawa Perlembagaan Persekutuan bersifat sekular.
Kenyataan itu mendapat reaksi daripada empat pemimpin Melayu DAP iaitu Syahredzan Johan, Young Syefura Othman, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Syerleena Abdul Rashid yang mempersoalkan mengapa isu berkenaan tidak menjadi halangan kepada PAS untuk bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2015.
Mengulas perkara itu, Hadi berkata PAS dan DAP ketika itu mempunyai beberapa persamaan dalam kerjasama politik, namun prinsip PAS dalam mana-mana bentuk kerjasama ialah rakan sekutunya tidak boleh menentang dasar perjuangan parti Islam berkenaan.
Beliau berkata Pakatan Rakyat akhirnya berpecah selepas DAP membantah langkah kerajaan Kelantan pimpinan PAS melarang umat Islam mengambil minuman keras serta meluluskan enakmen jenayah syariah negeri.
