Home / Dunia / Google Labur RM650 Juta Bina Infrastruktur Air di Negeri Sembilan

Google Labur RM650 Juta Bina Infrastruktur Air di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Google mengumumkan pembiayaan sebanyak AS$160 juta, kira-kira RM650 juta, bagi membangunkan infrastruktur air baharu di Negeri Sembilan untuk menyokong keperluan komuniti setempat serta operasi pusat datanya yang bakal dibangunkan di Port Dickson.

Projek itu merangkumi pembinaan kolam takungan air luar sungai dan sebuah loji rawatan air di sepanjang Sungai Linggi.

Google telah melantik Gamuda Berhad untuk melaksanakan pembinaan projek tersebut dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS).

Bekal 65 juta liter air sehari

Apabila siap, loji tersebut dijangka mampu membekalkan sehingga 65 juta liter air terawat setiap hari.

Bekalan itu bukan sahaja akan digunakan oleh kampus pusat data Google di Springhill Industrial Park, Port Dickson, tetapi turut menambah kapasiti bekalan air untuk kegunaan awam, domestik dan komersial di Negeri Sembilan.

Selepas projek disiapkan, kemudahan tersebut akan dipindah milik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBINS, badan berkanun yang menguruskan aset kerajaan negeri.

Takungan bantu kurangkan risiko banjir

Kolam takungan yang dibangunkan di sepanjang Sungai Linggi direka untuk menyimpan lebihan aliran sungai dan air hujan ketika musim yang mempunyai bekalan air tinggi.

Menurut Google, langkah itu turut berpotensi membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitar.

Air mentah yang dikumpulkan kemudian akan disalurkan ke loji rawatan sebelum digunakan untuk keperluan domestik dan komersial.

Ketika aliran sungai rendah pula, loji boleh mendapatkan bekalan daripada air yang disimpan di dalam takungan, sekali gus membantu mengekalkan bekalan tanpa mengganggu aliran semula jadi Sungai Linggi.

Berkait pembangunan pusat data Google

Projek air itu menjadi sebahagian daripada pembangunan infrastruktur digital Google di Negeri Sembilan yang turut merangkumi pembinaan kampus pusat data baharu di Port Dickson.

Google berkata pusat data berkenaan direka untuk menjadi antara yang paling cekap tenaga dan apabila beroperasi, ia akan menyokong perkhidmatan seperti Google Search, Maps dan Chrome yang digunakan oleh jutaan pengguna serta organisasi di Malaysia.

Syarikat teknologi itu turut memberi komitmen untuk menanggung 100 peratus kos elektrik yang digunakan pusat datanya, termasuk kos infrastruktur langsung yang diperlukan bagi sambungan ke grid elektrik.

Google berkata keputusan membiayai infrastruktur air bersama itu selari dengan sasaran global syarikat untuk menggantikan semula atau “replenish” sebanyak 120 peratus daripada jumlah air tawar yang digunakan dalam operasinya.

Latihan tenaga bersih untuk belia

Selain projek infrastruktur, Google turut memperluas kerjasama dengan SOLS Foundation menerusi program pendidikan dan pembangunan tenaga kerja dalam sektor tenaga bersih.

Antara program yang akan diperkenalkan mulai awal 2027 ialah penyediaan makmal tenaga solar di sekolah kerajaan terpilih serta latihan kemahiran digital untuk belia yang mahu menceburi bidang tenaga boleh baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Negeri Sembilan, Datuk Najmuddin Sharif Sarimon berkata pelaburan pusat data Google mencerminkan perkembangan Negeri Sembilan sebagai destinasi baharu bagi pelaburan infrastruktur digital bernilai tinggi.

Menurut beliau, manfaat pelaburan bukan hanya perlu dilihat berdasarkan jumlah modal, tetapi juga sumbangannya kepada ekonomi negeri, peluang perniagaan tempatan dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *