ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Semakan Ditolak, Isa Samad Kekal Dipenjara 6 Tahun, Denda RM15.45 Juta

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan pada Jumaat mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadap bekas Pengerusi Felda, Datuk Seri Mohd Isa Abdul Samad selepas menolak permohonannya untuk menyemak semula sabitan atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan wang suapan berjumlah RM3.09 juta.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Suasana pilu menyelubungi mahkamah sejurus keputusan diumumkan apabila Mohd Isa, 77, isterinya Datin Seri Bibi Sharliza Mohd Khalid, ahli keluarga serta penyokong dilihat sugul.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk P. Ravinthran memutuskan tiada berlaku salah laksana keadilan dalam prosiding rayuan terdahulu.

Menurut Azizah, panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini mempunyai kuasa untuk menilai semula keseluruhan keterangan daripada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum mengembalikan sabitan serta hukuman terhadap Mohd Isa.

Beliau berkata, pemohon telah diberikan peluang sepenuhnya untuk mengemukakan hujahan namun memilih untuk tidak berbuat demikian.

“Seperti diputuskan dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak melawan Pendakwa Raya, tiada salah laksana keadilan apabila mahkamah memberi peluang kepada pihak pembelaan berhujah walaupun mereka memilih untuk tidak menggunakan peluang tersebut.

“Atas alasan itu, mahkamah mendapati tiada berlaku salah laksana keadilan dan permohonan semakan ini ditolak,” katanya ketika membacakan keputusan.

Azizah berkata, Mohd Isa mengetahui sepenuhnya alasan rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan, termasuk isu kegagalan menyangkal anggapan di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta kegagalan menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Katanya, hujahan bertulis pendakwaan turut menjawab isu yang dibangkitkan pembelaan dan secara jelas memohon supaya keputusan Mahkamah Tinggi dikembalikan.

“Keseluruhan isu berkaitan sabitan dan hukuman telah berada di hadapan Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan.

“Tiada rekod menunjukkan mana-mana pihak mengehadkan skop hujahan atau memohon kebenaran untuk mengemukakan hujahan tambahan sepanjang prosiding rayuan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembelaan memilih untuk mempertahankan keputusan Mahkamah Rayuan tanpa menghujahkan merit pembelaan di Mahkamah Persekutuan dan selepas membuat pilihan tersebut, tidak boleh mendakwa hak untuk didengar telah dinafikan.

Mengenai dakwaan bahawa Mohd Isa tidak diberi peluang membuat rayuan mitigasi sebelum hukuman dijatuhkan, Azizah berkata panel Mahkamah Persekutuan hanya menjalankan bidang kuasa rayuan kerana hukuman telah diputuskan Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, faktor mitigasi telah dipertimbangkan di Mahkamah Tinggi dan tidak memerlukan penghujahan baharu memandangkan pihak pendakwaan juga tidak memohon hukuman yang lebih berat.

“Pemohon diberi peluang mencukupi untuk berhujah mengenai merit pembelaan dan mitigasi, namun memilih untuk tidak berbuat demikian.

“Oleh itu, panel Mahkamah Persekutuan terdahulu telah melaksanakan bidang kuasa rayuannya secara adil mengikut Seksyen 87 dan Seksyen 92 Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya.

Permohonan semakan itu didengar dengan Mohd Isa diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan M. Athimulan, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

Difahamkan, Mohd Isa masih belum menjelaskan denda RM15.45 juta yang dikenakan terhadapnya.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskannya, sekali gus mengembalikan sabitan serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta.

Mohd Isa didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. (GAPSB), Ikhwan Zaidel sebagai balasan meluluskan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FICSB) pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari 2021 mensabitkan Mohd Isa atas kesemua pertuduhan, namun Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 membebaskannya selepas mendapati keterangan dua saksi utama pendakwaan tidak disokong bukti yang mencukupi.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu memutuskan Mahkamah Rayuan telah terkhilaf sebelum mengembalikan semula sabitan dan hukuman terhadap bekas ahli politik itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *