ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Politik

BN Tidak Lagi Bersama Kerajaan Perpaduan Selepas Parlimen Bubar – Zahid

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15, namun kerjasama itu akan berakhir sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.

Pendirian itu ditegaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Ahad.

Menurut Ahmad Zahid, BN telah membuat keputusan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dan komitmen tersebut akan dipertahankan sehingga penghujung penggal semasa.

“Ketika Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka. Ini janji kita.”

Beliau berkata, penyertaan BN dalam Kerajaan Perpaduan merupakan satu komitmen yang dibuat selepas PRU15, namun kerjasama tersebut tidak bermakna BN kehilangan identiti atau pendirian politiknya sendiri.

Kenyataan terbaru itu selari dengan pendirian Ahmad Zahid sebelum ini bahawa BN akan terus berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.

Pada Julai lalu, beliau turut menegaskan BN kekal komited dengan kerajaan sehingga berakhir penggal semasa demi memastikan kestabilan politik negara.

Malah pada awal September, Ahmad Zahid menafikan berlaku keretakan hubungannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berkata urusan kerajaan serta Kabinet terus berjalan secara profesional.

Namun kenyataan terbaharu bahawa kebersamaan itu berakhir selepas pembubaran Parlimen memberi gambaran bahawa kedudukan serta bentuk kerjasama politik BN selepas itu akan ditentukan semula menjelang PRU16.

Apa yang jelas, buat masa ini BN masih kekal sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan sehingga Parlimen semasa dibubarkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *