Beli Online Bukan Sekadar Cari Murah, MCMC Mahu Pengguna Lebih Dilindungi
KUALA LUMPUR – Bila membeli-belah secara dalam talian, harga murah mungkin menjadi tarikan utama. Tetapi di sebalik satu pesanan yang dibuat, ada perkara lain yang tidak kurang penting iaitu siapa penjualnya, apa yang dijual dan sejauh mana pengguna dilindungi.
Atas sebab itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa penyedia platform e-dagang supaya memperkukuh langkah perlindungan pengguna serta memastikan barangan yang ditawarkan mematuhi undang-undang.
MCMC mahu platform meningkatkan pengesahan identiti penjual, selain memperkemas pemantauan terhadap produk yang ditawarkan di platform masing-masing.
Langkah itu termasuk penggunaan teknologi bagi mengesan dan mengambil tindakan dengan lebih pantas terhadap penyenaraian barangan yang dilarang, berbahaya atau tidak mematuhi keperluan undang-undang.
Perkara itu dibincangkan dalam sesi libat urus MCMC bersama penyedia platform e-dagang serta kementerian dan agensi berkaitan pada 7 Oktober, susulan kebimbangan awam mengenai keselamatan pengguna dan pematuhan undang-undang dalam ekosistem e-dagang.
Dalam masa sama, perbincangan turut mengambil kira pandangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor peruncitan mengenai kesan perkembangan e-dagang terhadap perniagaan mereka, termasuk implikasinya kepada industri kurier.
Antara platform yang terlibat ialah Grab, Lazada Malaysia/Alibaba, Facebook Marketplace, Pinduoduo, SHEIN, Shopee Malaysia dan TikTok Shop.
MCMC berkata penyelarasan bersama kementerian, agensi kerajaan dan pihak industri akan diteruskan bagi memastikan langkah susulan yang lebih praktikal, sekali gus mewujudkan ekosistem e-dagang yang lebih selamat, patuh undang-undang dan dipercayai pengguna.
Sumber : Berita RTM
