ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

Agong Titah Utamakan Kesihatan Murid, Nasihat Sekolah Ditutup Jika Jerebu Berpanjangan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan keprihatinan terhadap kesihatan dan keselamatan murid serta pelajar susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Seri Paduka Baginda bertitah keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang kekal antara 150 hingga 180 secara berpanjangan memerlukan tindakan sewajarnya, termasuk mempertimbangkan penutupan sekolah di kawasan yang terjejas.

Baginda turut meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memberi perhatian serius terhadap situasi semasa dengan mengutamakan keselamatan murid, selain melindungi golongan berisiko seperti warga emas dan pesakit yang mempunyai masalah pernafasan.

Sultan Ibrahim turut menasihatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka, mengurangkan aktiviti luar serta sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh jerebu.

38 kawasan catat IPU tidak sihat

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 38 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat jam 9 pagi Khamis.

Antara bacaan tertinggi direkodkan di Segamat, Johor pada 187, diikuti Nilai, Negeri Sembilan pada 183.

Beberapa kawasan di Selangor turut mencatatkan bacaan tidak sihat termasuk Johan Setia (178), Shah Alam (170), Banting (167), Klang (166), Petaling Jaya (165) dan Kuala Selangor (155).

KPM tetapkan sekolah tutup jika IPU melebihi 200

Sebelum ini, KPM mengarahkan semua sekolah di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 200 ditutup serta-merta sebagai langkah melindungi kebajikan dan keselamatan murid.

Titah Yang di-Pertuan Agong bagaimanapun memberi perhatian kepada keadaan IPU 150 hingga 180 yang berpanjangan, dengan penutupan sekolah antara langkah yang disarankan untuk dipertimbangkan di kawasan terjejas.

Di Johor, semua sekolah ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober, atas titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail susulan kemerosotan kualiti udara. Sepanjang penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan.

Keadaan jerebu semasa turut menyebabkan orang ramai dinasihatkan memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa dan mengehadkan aktiviti di luar sekiranya kualiti udara terus merosot.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *