Bawa Bukti Ke Mahkamah Jika Benar DAP Ancam Melayu, Islam – Aiman Athirah
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – PAS dan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dicabar mengemukakan bukti serta mengambil tindakan melalui saluran undang-undang sekiranya benar terdapat agenda DAP atau Pakatan Harapan (PH) yang mengancam kedudukan Melayu dan Islam.
Ketua Wanita Amanah, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, dakwaan serius seperti itu tidak seharusnya sekadar dijadikan retorik politik atau digunakan untuk membangkitkan ketakutan dan emosi masyarakat.
Menurutnya, sekiranya terdapat bukti bahawa DAP dan PH mempunyai agenda seperti yang didakwa, perkara itu sepatutnya dibawa melalui proses undang-undang dan dibuktikan di mahkamah.
Kenyataan Aiman Athirah itu menyusul tulisan terbaharu Abdul Hadi menerusi siri Minda Presiden PAS yang antara lain mendakwa DAP kini mempunyai pengaruh dominan dalam PH serta membawa beberapa agenda yang menurutnya boleh melemahkan kedudukan Melayu dan Islam.
Dalam tulisan berkenaan, Abdul Hadi turut membangkitkan beberapa isu termasuk kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu serta cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT). Beliau mendakwa perkembangan tersebut menjadi antara sebab penyatuan politik Melayu-Islam perlu diperkukuhkan.
Presiden PAS itu turut mempertahankan kerjasama dan penyatuan politik Melayu-Islam dengan menyatakan ia tidak seharusnya dianggap sebagai perjuangan berasaskan perkauman, sebaliknya bagi memastikan masyarakat Melayu-Islam terus memainkan peranan kepimpinan dalam negara yang berbilang kaum.
Bagaimanapun, Aiman Athirah mempersoalkan sama ada dakwaan terhadap DAP dan PH itu mempunyai bukti yang boleh dipertanggungjawabkan atau sekadar strategi politik untuk membina persepsi ketakutan dalam kalangan pengundi.
Beliau menegaskan tuduhan yang menyentuh soal agama dan kaum perlu disertakan dengan fakta serta bukti yang jelas, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan dakwaan terhadap parti politik dan pentadbiran negara.
Pertembungan kenyataan kedua-dua pihak ini berlaku ketika isu penyatuan politik Melayu-Islam dan kedudukan DAP dalam landskap politik negara kembali menjadi perhatian selepas perkembangan politik terkini. Abdul Hadi pada hari sama turut menyifatkan kemenangan BN dan PN dalam pilihan raya negeri baru-baru ini bukan disebabkan sentimen perkauman.
