Arab Saudi Dan Perancis Sokong Palestin Merdeka, Desak Israel Berundur Dari Lubnan
PARIS – Arab Saudi dan Perancis menegaskan sokongan terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan 1967.
Pendirian itu dinyatakan menerusi kenyataan bersama selepas Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dan Presiden Perancis Emmanuel Macron mengadakan pertemuan di Istana Élysée, di sini, pada Isnin.
Kedua-dua pemimpin turut menolak sebarang tindakan yang boleh menjejaskan hak rakyat Palestin, selain menggesa penghentian pembinaan penempatan haram Israel serta keganasan oleh peneroka yang disifatkan sebagai ancaman terhadap pelaksanaan penyelesaian dua negara.
Mereka turut menekankan kepentingan mewujudkan keadaan yang membolehkan pelaksanaan gencatan senjata berkekalan di Gaza serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan segera, selamat dan tanpa sebarang halangan.
Dalam kenyataan itu, Arab Saudi dan Perancis turut mengalu-alukan pengumuman mengenai perjanjian pelucutan senjata Hamas serta menyatakan sokongan terhadap pelaksanaannya.
Kedua-dua negara juga menyokong usaha pembaharuan institusi Palestin, termasuk cadangan mengadakan pilihan raya presiden dan perundangan.
Sementara itu, berhubung perkembangan di Lubnan, Arab Saudi dan Perancis bersetuju untuk memperhebat usaha ke arah mencapai penyelesaian berkekalan bagi memelihara kedaulatan serta keutuhan wilayah negara berkenaan.
Kedua-dua pihak turut menggesa pelaksanaan sepenuhnya Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk pelucutan senjata semua kumpulan bersenjata yang berada di luar kawalan kerajaan serta pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari wilayah Lubnan.
