ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Dunia

Robot Tiangong Ultra Cipta Sejarah Atasi Rekod Dunia Manusia Acara 400 Meter

BEIJING – Robot humanoid Tiangong Ultra mencipta sejarah dalam industri robotik apabila mencatat masa 38.15 saat dalam acara 400 meter pada Sukan Robot Humanoid Sedunia yang berlangsung di sini semalam.

Catatan itu lebih pantas daripada rekod dunia manusia 43.03 saat yang dipegang atlet Afrika Selatan Wayde van Niekerk sejak Sukan Olimpik Rio 2016.

Bagaimanapun, pencapaian Tiangong Ultra tidak menjejaskan rekod dunia rasmi kategori manusia kerana pertandingan melibatkan robot dan manusia merupakan dua kategori berasingan.

Pencapaian terbaharu itu menyusuli kejayaan robot berkenaan pada hujung minggu lalu apabila Tiangong Ultra, yang dibangunkan oleh Beijing Humanoid Robot Innovation Center, dilaporkan mencatat masa 9.39 saat dalam acara 100 meter.

Catatan itu juga lebih pantas daripada rekod dunia manusia 9.58 saat yang dipegang legenda pecut Jamaica Usain Bolt.

Acara pecut berkenaan berlangsung sempena edisi kedua Sukan Robot Humanoid Sedunia yang menghimpunkan lebih 2,000 robot humanoid dari 16 negara serta mempertandingkan 51 acara.

Antara acara yang dipertandingkan ialah lompat tinggi, tenis meja, tinju, bola sepak dan seni mempertahankan diri Tai Chi.

Penganjuran edisi kali ini turut menyaksikan peningkatan ketara dari segi jumlah penyertaan dan acara yang dipertandingkan berbanding tahun lalu.

Kejohanan itu dianjurkan bagi menggalakkan pembangunan teknologi robot humanoid, sistem mobiliti autonomi dan kecerdasan buatan (AI) yang dijangka memainkan peranan semakin penting dalam sektor industri serta kehidupan harian pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *