Agong Berkenan Berangkat Ke Istiadat Mengarak Panji-Panji
PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menghadiri Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda yang berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 8.45 pagi disambut dengan nyanyian lagu Negaraku serta 21 das tembakan kehormatan yang dilepaskan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.
Sultan Ibrahim kemudiannya memeriksa perbarisan kehormatan yang melibatkan 25 pegawai dan 510 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), diketuai Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Azlan Shah Baharom.
Walaupun cuaca hujan renyai dengan suhu sekitar 26 darjah Celsius, istiadat yang bermula seawal jam 7.50 pagi itu berlangsung lancar dengan iringan persembahan lagu-lagu patriotik oleh gabungan Pancaragam Pusat ATM yang dipimpin Leftenan Kolonel Muhamad Nor Azizan Yahya.
Selepas pemeriksaan perbarisan, gabungan pancaragam membuka medan sebelum lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak mengikut istiadat ketenteraan penuh.
Lima panji yang diarak ialah Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong merupakan simbol penghormatan tertinggi negara yang dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda kepada rejimen dan kor dalam perkhidmatan Tentera Darat, TLDM serta TUDM sebagai lambang kesetiaan dan kecemerlangan pasukan.
Istiadat tersebut diakhiri dengan laungan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan serta bacaan doa yang dipimpin Ketua Pengarah Agama Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Mohd Jihadi Ahmad.
Seri Paduka Baginda berangkat meninggalkan majlis pada jam 9.40 pagi.
Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diadakan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh pemerintahan seseorang Raja Melayu yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, iaitu pada tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.
Istiadat itu menjadi simbolik kepada sumpah dan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi oleh warga Angkatan Tentera Malaysia kepada Raja dan negara.
