ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

4,848 Kes Penipuan Dalam Talian Di Perak Tahun Lepas

IPOH – Sebanyak 4,848 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian mencecah RM124,989,768.55 direkodkan di Perak sepanjang tahun lalu, dengan trend menunjukkan peningkatan membimbangkan dalam kalangan pelajar.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi berkata data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa kes penipuan dalam talian di Perak pada 2025 melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, pekerjaan mahupun latar belakang.

Menurut beliau, golongan yang terjejas termasuk pelajar, penjawat awam, pesara dan pekerja sektor swasta.

“Data menunjukkan jumlah mangsa lelaki dan wanita hampir seimbang. Namun, warga emas masih dikenal pasti sebagai kumpulan paling berisiko, manakala trend semasa memperlihatkan peningkatan kes melibatkan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong May Ing (PH-Pantai Remis) berhubung langkah jangka pendek dan panjang kerajaan negeri bagi menangani peningkatan kes penipuan dalam talian di Perak.

Mohd Azlan berkata, antara modus operandi yang paling kerap dilaporkan ialah penipuan telekomunikasi seperti panggilan palsu dan pancingan data (phishing), diikuti penipuan pelaburan tidak wujud, penipuan e-dagang, penipuan cinta (love scam) serta penipuan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin sukar dikesan.

Beliau berkata, selain pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kempen Internet Selamat turut diperluaskan di seluruh negeri.

“Sepanjang tahun lalu, kempen ini telah dilaksanakan di 906 sekolah melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Perak.

“Bagi tahun 2026, program ini akan diperluaskan ke peringkat kampung, mukim dan daerah bagi memastikan mesej berkaitan keselamatan internet, termasuk ancaman penipuan dan jenayah digital, dapat disampaikan kepada lebih ramai anggota masyarakat dalam bentuk yang mudah difahami,” katanya.

Bagi langkah jangka panjang, Mohd Azlan berkata kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh literasi digital, penggunaan teknologi AI dan analisis data bagi tujuan pengesanan awal, selain memperketatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap sindiket penipuan serta pemilik akaun keldai.

Katanya, ekosistem keselamatan kewangan negara juga akan terus diperkasakan menerusi kerjasama rentas agensi, di samping memperluaskan program kesedaran yang lebih bersasar kepada golongan berisiko seperti warga emas, pesara dan pelajar.

“Penekanan turut diberikan kepada pembangunan sistem pengesanan awal menggunakan teknologi AI, pengukuhan undang-undang serta tindakan lebih tegas terhadap sindiket scam dan akaun keldai.

“Kerjasama antara agensi berkaitan juga akan dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan kewangan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *