Home / Malaysia / HAMPIR SETAHUN DIBAWA PULANG, EMPAT LUKISAN DIKAITKAN 1MDB BAKAL DIPAMERKAN KEPADA UMUM

HAMPIR SETAHUN DIBAWA PULANG, EMPAT LUKISAN DIKAITKAN 1MDB BAKAL DIPAMERKAN KEPADA UMUM

KUALA LUMPUR – Empat karya seni bernilai tinggi yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dibawa pulang ke Malaysia pada April lalu bakal dipamerkan kepada orang ramai selepas kerja-kerja konservasi selesai.

Balai Seni Negara memaklumkan bahawa kesemua karya berkenaan kini berada di bawah jagaan dan tanggungjawab institusi itu bagi memastikan keselamatan serta pemeliharaannya sebelum dipamerkan.

Empat karya tersebut ialah:

  • L’Écuyère et les Clowns (1961) oleh Pablo Picasso.
  • Composition (1953) oleh Joan Miró.
  • Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934) oleh Maurice Utrillo.
  • Étude pour femme couchée (1948) oleh Balthus.

Kesemua karya itu sebelum ini dimiliki bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo, dan mempunyai anggaran nilai keseluruhan AS$198,125 atau kira-kira RM786,556.

Bagaimanapun, tarikh rasmi pameran masih belum ditetapkan. Balai Seni Negara memaklumkan bahawa kerja konservasi perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi memastikan karya seni berkenaan berada dalam keadaan sesuai untuk tatapan umum.

Dalam perkembangan berkaitan, lapan lagi lukisan yang dianggarkan bernilai lebih RM120 juta dijangka dibawa pulang menjelang akhir tahun ini menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa asing, khususnya Amerika Syarikat. Namun, Balai Seni Negara belum dapat mengesahkan sama ada proses pemulangan itu masih mengikut jadual.

Menariknya, reproduksi karya Picasso berjudul L’Écuyère et les Clowns turut dijadualkan dipamerkan dalam ruang khas Malaysia Art Ecosystem Fair (MAEF) 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur dari 27 hingga 29 November. Pameran itu bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai latar belakang dan sejarah karya berkenaan.

Sumber : BERNAMA
Foto : theedgemalaysia

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *