KUANTAN – Seorang peniaga durian berusia 31 tahun di Raub, Pahang mengalami kerugian sebanyak RM450,879.40 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud yang menggunakan nama teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, mangsa mula berkenalan dengan individu dipercayai suspek menerusi aplikasi Telegram pada 30 Oktober lalu sebelum ditawarkan pelaburan berasaskan pusingan wang menggunakan AI dengan janji pulangan lumayan.
Mangsa kemudian dipelawa menyertai sebuah laman sesawang untuk memulakan pelaburan.
Bermula 4 November, mangsa membuat pembayaran secara berperingkat atas alasan modal pelaburan, bayaran yuran, penambahan nilai pelaburan serta denda akibat kelewatan membuat bayaran.
Secara keseluruhan, mangsa melakukan 22 transaksi melibatkan 12 akaun bank berbeza sehingga kerugian mencecah RM450,879.40.
Mangsa mula menyedari dirinya diperdaya apabila diminta memasukkan wang tambahan kononnya bagi membolehkan modal pelaburan dikeluarkan.
Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis pada 24 November dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat. Orang ramai juga disaran menyemak nombor akaun, nombor telefon atau nama syarikat melalui portal Semak Mule serta menghubungi NSRC di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan.









