Home / Malaysia / SELANGOR GUNA SEMBILAN JADUAL WAKTU SOLAT MENGIKUT DAERAH MULAI 2027

SELANGOR GUNA SEMBILAN JADUAL WAKTU SOLAT MENGIKUT DAERAH MULAI 2027

SHAH ALAM – Jadual waktu solat di Selangor bakal mengalami perubahan apabila sistem tiga zon sedia ada digantikan dengan sembilan jadual berasingan mengikut daerah, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027.

Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir berkata, penyelarasan itu bertujuan meningkatkan ketepatan waktu solat berdasarkan kedudukan geografi setiap daerah.

Sembilan daerah yang terlibat ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Menurut beliau, perubahan tersebut dibuat susulan aduan serta semakan yang mendapati terdapat ketidakselarasan laungan azan ketika Ramadan sehingga mengganggu pelaksanaan ibadah puasa.

Beliau menjelaskan bahawa umat Islam tidak perlu bimbang kerana perubahan ini hanya melibatkan pembahagian kawasan jadual waktu solat, bukannya kaedah penentuan waktu solat.

Jadual baharu bagi kesemua sembilan daerah untuk tahun 2027 telah disediakan dan boleh disemak menerusi laman rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Pihak jabatan juga sedang berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memasukkan jadual baharu tersebut ke dalam aplikasi Iman.

Sumber : BERNAMA

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *