SHAH ALAM – Seramai 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia bakal ditempatkan di Türkiye menerusi program latihan kemahiran berstruktur selepas cadangan berkenaan mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan kerajaan Türkiye untuk menerima kumpulan berkenaan dicapai susulan lawatan kerja rasmi beliau ke negara itu baru-baru ini.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sekadar melibatkan penempatan semula ke negara ketiga, sebaliknya turut menyediakan peluang kepada pelarian membina kehidupan baharu melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan.
Bidang latihan akan diselaraskan mengikut keperluan sektor industri di Türkiye bagi membekalkan peserta dengan kemahiran praktikal serta meningkatkan kebolehpasaran mereka, tertakluk kepada peraturan negara penerima.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing (JKKPA) berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan diselaraskan bersama pihak berkuasa Türkiye, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan agensi berkaitan.
Proses pemilihan, latihan, dokumentasi serta penempatan akan mengambil kira keperluan industri, persetujuan individu yang terlibat dan peraturan antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dilaporkan berkata Malaysia mungkin memerlukan lebih satu abad untuk menyelesaikan isu penempatan semula pelarian sekiranya kadar penghantaran ke negara ketiga kekal seperti sekarang.
Beliau memaklumkan hanya 974 pelarian dihantar ke negara ketiga antara Januari hingga Jun 2026.
Ahmad Zahid menyifatkan kerjasama dengan Türkiye sebagai pendekatan jangka panjang yang turut mengambil kira aspek kemanusiaan, perlindungan dan masa depan golongan pelarian.
Sumber : Sinar Harian









