PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan Persidangan Negara Bangsa 2026 pada 30 November hingga 2 Disember 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan penyertaan dijangka mencecah 5,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Persidangan selama tiga hari itu menjadi antara inisiatif kementerian dalam memperkukuh agenda Pembinaan Negara Bangsa melalui penghayatan sejarah, Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta pembentukan identiti nasional yang dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.

Empat tema utama dibincangkan
Persidangan itu akan menghimpunkan tokoh akademik, ahli sejarah, pakar pelbagai bidang serta pemimpin masyarakat bagi membincangkan empat tema utama.
Antaranya ialah Perlembagaan dan Rukun Negara Teras Pembinaan Negara Bangsa, Warisan dan Sejarah: Akar Identiti Nasional, Kepelbagaian, Keharmonian dan Kesepaduan Sosial serta Transformasi Negara Bangsa: Naratif Nasional, Ekonomi Inklusif dan Modal Insan.
Penganjuran itu bukan sekadar menyediakan platform wacana akademik, malah menjadi medan menghimpunkan pandangan, pengalaman dan aspirasi pelbagai pihak dalam membentuk kefahaman bersama mengenai hala tuju pembinaan negara bangsa.
Wan Junaidi sampaikan Syarahan Negarawan
Antara pengisian utama ialah Syarahan Negarawan yang akan disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Syarahan itu dijangka memberi perspektif berkaitan kenegaraan, perpaduan serta masa depan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.
Majlis Perasmian Penutup persidangan pula dijadualkan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Disember 2026.
Menurut Kementerian Perpaduan Negara, penglibatan Perdana Menteri mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjadikan agenda Pembinaan Negara Bangsa sebagai antara keutamaan nasional.
Belia dianggap ejen utama
Kementerian turut memberi penekanan kepada penglibatan golongan belia, mahasiswa dan generasi muda dalam persidangan berkenaan.
Golongan itu disifatkan sebagai ejen utama pembinaan negara bangsa kerana mereka merupakan pewaris kepimpinan dan penentu masa depan negara.
Justeru, generasi muda bukan sahaja perlu memahami sejarah dan asas kenegaraan, malah digalakkan menjadi penggerak dalam membentuk identiti nasional, menyemai semangat patriotisme serta memperkukuh perpaduan dalam kepelbagaian.
Bina identiti tanpa hapus kepelbagaian
Dalam konteks Malaysia yang mempunyai kepelbagaian etnik, agama, budaya dan bahasa, usaha membina negara bangsa perlu berpaksikan nilai kebersamaan, semangat kekitaan dan rasa kepunyaan terhadap negara.
Pada masa sama, usaha itu perlu dilakukan tanpa menghakis keunikan kepelbagaian sedia ada.
Kementerian menegaskan pembinaan negara bangsa bukan hanya tanggungjawab kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh rakyat Malaysia.
Hasil perbincangan dan pandangan yang diketengahkan sepanjang persidangan itu diharap dapat menjadi input strategik dalam memperkaya pelaksanaan agenda Pembinaan Negara Bangsa.









