KUALA KANGSAR – Seorang lelaki berusia 38 tahun yang mengaku bersalah atas pertuduhan cuba membunuh dan merogol seorang wanita berusia 20 tahun diarahkan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Nuur Hafiedzah Md Daud selepas meneliti keadaan tertuduh, Marwan Mohd Nor, 38, ketika membuat pengakuan bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.
Lebih mengejutkan, Marwan turut meminta mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum terhadapnya bagi pertuduhan merogol.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa cuba membunuh mangsa sehingga menyebabkan kecederaan dalam kejadian di tepi jalan Felda Lasah ke Lintang, Lubuk Kelah Lintang, Sungai Siput, kira-kira jam 11.20 malam pada 3 November lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa di lokasi dan waktu yang sama.
Pertuduhan cuba membunuh dikemukakan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan rogol dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula kes serta mendapatkan laporan pemeriksaan psikiatri.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Nor A’in Ahmad.
Sumber : Bernama









