Home / Malaysia / Isa Isarb Ditahan Enam Hari Di Indonesia, Disyaki Perisik Ketika Hasilkan Dokumentari Jerebu

Isa Isarb Ditahan Enam Hari Di Indonesia, Disyaki Perisik Ketika Hasilkan Dokumentari Jerebu

SHAH ALAM – Pencipta kandungan digital, Isa Isarb mendedahkan pengalaman mencemaskan apabila dirinya bersama beberapa anggota pasukan produksi ditahan pihak berkuasa Indonesia selama enam hari ketika menjalankan penggambaran dokumentari berkaitan isu jerebu.

Menurut Isa, tujuan asal mereka ke negara jiran itu adalah untuk merakam dokumentari mengenai jerebu dan kebakaran hutan. Bagaimanapun, keadaan berubah apabila mereka singgah di sebuah lokasi demonstrasi mahasiswa untuk menemubual beberapa individu.

Tidak lama kemudian, kumpulan mereka didatangi kira-kira 10 hingga 15 pegawai Indonesia sebelum ditahan atas dakwaan menyalahgunakan visa pelancong yang tidak membenarkan aktiviti penggambaran atau kehadiran di lokasi demonstrasi.

Isa berkata, ketika soal siasat, pihak berkuasa turut meminta beliau membuka telefon bimbit bagi memeriksa komunikasi dan mendapatkan penjelasan mengenai tujuan sebenar kedatangan mereka.

Lebih mengejutkan, beliau mendakwa kemudian disyaki sebagai perisik Malaysia selepas pihak berkuasa menemui perbualannya dengan beberapa tokoh politik negara, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun, Isa menjelaskan komunikasi tersebut hanyalah urusan jemputan temu bual bagi dokumentari jerebu yang sedang dihasilkan, termasuk perancangan sesi temu bual di Parlimen Malaysia.

Sepanjang enam hari dalam tahanan, Isa mendakwa beliau dan pasukannya disoal siasat setiap hari. Pengalaman itu turut menyebabkan beliau mengalami serangan panik selama beberapa malam selain bimbang memikirkan nasib isteri dan anaknya.

Beliau akhirnya bersyukur apabila dirinya bersama pasukan berjaya dibawa pulang ke Malaysia, sambil merakamkan penghargaan kepada kerajaan Indonesia atas layanan sepanjang siasatan serta kerajaan Malaysia atas bantuan yang diberikan.

Dalam pada itu, Isa merancang menerbitkan video dokumentari mengenai pengalaman tersebut menerusi saluran YouTube miliknya pada 16 November ini.

Beliau turut berharap kisah berkenaan tidak dijadikan bahan kempen atau dimanipulasi untuk kepentingan mana-mana pihak menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka pada 14 November.

Tangkap layar hantaran kenyataan di TikTok Isa Isarb
Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *