Home / Malaysia / DUA WARGA THAILAND DIDAKWA BUNUH ANGGOTA APMM, TURUT BERDEPAN PERTUDUHAN SELUDUP MIGRAN

DUA WARGA THAILAND DIDAKWA BUNUH ANGGOTA APMM, TURUT BERDEPAN PERTUDUHAN SELUDUP MIGRAN

KANGAR – Dua lelaki warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar pada Khamis atas pertuduhan membunuh seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, dalam kejadian di perairan Sungai Padang, Perlis, hujung Oktober lalu.

Kedua-dua tertuduh, Pradit Rimat, 22, dan Rotchahan Tehpuyu, 21, bagaimanapun tidak membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa melakukan pembunuhan secara bersama berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Padang antara jam 11 malam, 26 Oktober hingga 1.30 pagi, 27 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan sekiranya tidak dihukum mati.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 5 Januari 2027 sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat serta kimia.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, kedua-dua lelaki itu turut berdepan pertuduhan menyeludup sembilan migran warga Myanmar menggunakan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Mereka turut mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan. Mahkamah menetapkan 15 Disember 2026 untuk sebutan semula kes berkaitan penyeludupan migran dan imigresen.

Sementara itu, APMM memaklumkan siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti kemungkinan pihak lain yang turut terlibat dalam kejadian berkenaan.

Sumber/ Foto : BERNAMA

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *