IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menanggung kos hidangan makan tengah hari untuk seramai 8,960 banduan dan tahanan di negeri itu bersempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-70.
Sumbangan yang disalurkan menerusi Jabatan Penjara Perak itu merupakan tahun keempat pelaksanaannya sebagai tanda keprihatinan baginda terhadap kebajikan penghuni institusi penjara dan pusat pemulihan.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, inisiatif berkenaan melibatkan penghuni di tujuh institusi, iaitu Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Pusat Koreksional Chenderiang, Penjara Satelit Kuala Kangsar dan Rumah Perantaraan Perak.
Menurut beliau, sumbangan makanan tengah hari itu diberikan kepada banduan yang terdiri daripada pelbagai jenis kesalahan.
Perkara itu dimaklumkan ketika sidang media Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Mohd Zahidi turut menggalakkan orang ramai, persatuan, pemilik premis perniagaan dan jabatan kerajaan mengibarkan bendera Perak serta memasang lampu bagi memeriahkan sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Nazrin ke-70.
Usaha itu diharap dapat menyemarakkan suasana sambutan selain memperlihatkan tanda taat setia kepada Sultan Perak.
Foto : BERNAMA









