RAWANG – Lelaki yang dikenali sebagai Aliff Daniel Adli, 21, diperintahkan menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan melakukan pemujaan yang bertentangan dengan hukum syarak.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada Rabu.
Mengikut pertuduhan, Aliff Daniel didakwa melakukan perbuatan pemujaan salah dengan menjunjung alat keagamaan lain, mencucuk anggota badan serta berlutut di hadapan patung sambil merapatkan kedua-dua tangan ke dada.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah kuil di Batu Caves antara jam 9 hingga 11 malam pada 24 Januari 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Dalam penghakimannya, Mohd Faizal menasihati tertuduh supaya bertaubat dengan sebenar-benarnya kerana kesalahan berkenaan melibatkan persoalan akidah dan tauhid sebagai seorang Islam.
Susulan itu, mahkamah memerintahkan Aliff Daniel menjalani program pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman selama tiga bulan bermula hari ini.
Pendakwa Syarie, Zamniazura Mohd Sarin sebelum itu mencadangkan penggunaan Seksyen 54(1) enakmen sama bagi membolehkan tertuduh menjalani pemulihan dan bimbingan berterusan.
Bagaimanapun, Aliff Daniel yang tidak diwakili peguam memohon supaya dikenakan denda minimum dengan alasan perlu menjaga ibu dan adiknya serta tidak mempunyai pendapatan tetap.
Beliau turut memaklumkan sudah bertaubat dan tidak lagi melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak, selain memohon diberikan bimbingan agama.
Mahkamah menetapkan 25 Februari 2027 sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan pemulihan tertuduh.









