KPM Perlu Ada Rekod Jelas Tahap Keselamatan Setiap Sekolah
KUALA LUMPUR – Selepas tragedi yang meragut nyawa seorang pelajar di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, persoalan mengenai tahap keselamatan di sekolah kembali mendapat perhatian.
Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang berpandangan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mempunyai rekod yang jelas mengenai tahap keselamatan setiap sekolah, termasuk lokasi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan kawasan yang masih mempunyai jurang pemantauan.
Pengerusinya, Daniel Khoo berkata, perkara itu penting supaya kelemahan keselamatan dapat dikenal pasti lebih awal dan diperbaiki sebelum berlaku kejadian yang lebih serius.
Menurutnya, penilaian keselamatan tidak seharusnya hanya melihat kepada jumlah CCTV yang dipasang. Lokasi kamera, keadaan peralatan, sistem penyimpanan rakaman serta pihak yang bertanggungjawab memantau sistem berkenaan juga perlu diketahui.
MCCC turut mencadangkan supaya polis memainkan peranan lebih aktif melalui pemantauan dan rondaan berkala di kawasan sekolah bagi mengesan risiko seperti kemasukan individu luar, gangsterisme, pergaduhan atau ancaman lain terhadap pelajar.
Daniel berkata, langkah pencegahan perlu diberi perhatian kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat yang diyakini selamat oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka.
Pada masa sama, beliau menegaskan semua kelemahan keselamatan perlu dikenal pasti dan diperbaiki, terutama apabila ia melibatkan keselamatan serta nyawa pelajar.
Sumber/ Foto : Berita Harian
