Malaysia kecam pencerobohan Kompleks Masjid Al-Aqsa
KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi menyatakan pendirian tegas berhubung perkembangan di Baitulmuqaddis Timur selepas lebih 4,200 puak pelampau Yahudi, termasuk seorang menteri rejim Zionis Israel, dilaporkan menceroboh Kompleks Masjid Al-Aqsa pada 23 Julai lalu.
Menurut Kementerian Luar, tindakan itu berlaku di bawah perlindungan tentera rejim Zionis Israel dan disusuli sekatan terhadap jemaah Palestin serta aktiviti keagamaan tanpa kebenaran di dalam kompleks berkenaan.
Wisma Putra menyifatkan tindakan tersebut sebagai pelanggaran terhadap status quo sejarah dan undang-undang yang mengawal tapak suci berkenaan.
Malaysia turut berpandangan perkembangan itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan status Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.
Dalam kenyataannya, Malaysia melihat tindakan tersebut sebagai sebahagian daripada corak pelanggaran berterusan di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, yang menurut Wisma Putra bertujuan menggugat kesucian Masjid Al-Aqsa serta mengubah sejarah, undang-undang dan demografinya.
Bukan itu sahaja, Malaysia turut memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh mengancam keamanan dan kestabilan serantau selain menyentuh sensitiviti keagamaan umat Islam di seluruh dunia.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, mengambil langkah segera dan konkrit bagi memastikan Israel menghentikan tindakan provokatif serta pencabulan terhadap Masjid Al-Aqsa.
Malaysia turut menegaskan semula solidariti bersama rakyat Palestin dan sokongan terhadap hak mereka untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah Negara Palestin yang bebas dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
Sumber : BERNAMA
