ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

EkonomiMalaysia

Ekonomi Berkembang, Rakyat Nak Gaji Lebih Baik: Pendapatan Jadi Fokus Belanjawan 2027

GEORGE TOWN – Pertumbuhan ekonomi tidak banyak ertinya jika peningkatan itu tidak akhirnya dirasai melalui pekerjaan yang lebih baik dan pendapatan yang lebih bermakna untuk rakyat.

Persoalan mengenai pendapatan dan gaji itu kini dilihat perlu diberi perhatian lebih besar dalam penyediaan Belanjawan 2027, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menurut beliau, peningkatan produktiviti negara serta kedudukan Malaysia yang semakin kukuh dalam rantaian bekalan perlu diterjemahkan kepada manfaat yang lebih jelas kepada pekerja.

Antaranya melalui peluang pekerjaan berkualiti dan peningkatan gaji.

Akmal berkata, sudah tiba masanya isu pendapatan rakyat tidak hanya dibincangkan sebagai sebahagian kecil daripada agenda ekonomi, sebaliknya diletakkan sebagai antara perkara utama ketika kerajaan merangka belanjawan.

Beliau turut berharap Belanjawan 2027 dapat menunjukkan komitmen yang lebih jelas mengenai langkah untuk menyemak dan memperbaiki kedudukan gaji rakyat Malaysia.

Pada masa sama, usaha meningkatkan pendapatan tidak boleh dilihat secara berasingan daripada keupayaan syarikat tempatan untuk berkembang.

Menurut Akmal, pengukuhan syarikat Malaysia dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) penting supaya manfaat daripada perkembangan industri dan peningkatan produktiviti dapat mengalir kepada tenaga kerja.

Pendekatan itu juga berkait dengan usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan, yang seterusnya boleh membuka ruang kepada pekerjaan dengan nilai dan ganjaran yang lebih baik.

Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika ditemui media selepas menghadiri KL20@Penang 2026: Silicon Surge di Penang Waterfront Convention Centre, hari ini.

Sementara itu, Kementerian Kewangan sebelum ini menetapkan Belanjawan 2027 sebagai belanjawan yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan, membuka peluang pekerjaan berkualiti dan meringankan beban sara hidup rakyat.

Belanjawan 2027 dijadualkan untuk dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober 2026.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *