ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Warga Singapura Dipenjara 14 Hari, Denda RM7,000 Menghina Islam

PETALING JAYA – Seorang warga Singapura dihukum penjara 14 hari dan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghina Islam.

Sinar Harian melaporkan Majistret A Shaarmini menjatuhkan hukuman terhadap Anim Atam, 56, dan memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapannya pada Selasa lepas.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Anim didakwa dengan sengaja menyebut kata-kata yang boleh melukakan perasaan agama seseorang dengan merujuk kepada al-Quran ketika dalam perjalanan dari Jalan Tun Razak hingga Jalan Meldrum, Johor Bahru, kira-kira 5 petang pada 30 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan denda kerana menghidap tekanan darah tinggi selain perlu hadir ke mahkamah bagi urusan proses perceraian.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira perbuatan tertuduh yang menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja, selain rakaman kejadian berkenaan tular di media sosial.

Berdasarkan fakta kes, Anim didakwa mengeluarkan kenyataan berkenaan ketika menaiki kenderaan e-panggilan sebelum pemandunya, Muhamad Danial Haikal Nadzahakim, 29, memuat naik rakaman perbualan itu ke media sosial.

Susulan kejadian, satu laporan polis dibuat pada 31 Julai lepas.

Tertuduh kemudian ditahan di Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Cagar, kira-kira 4.15 petang Selasa lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *