ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Dunia

Pengebumian Besar-Besaran Di Gaza: 112 Mangsa Serangan Israel 2023 Disemadikan

BANDARAYA GAZA – Ribuan penduduk Palestin menghadiri upacara pengebumian besar-besaran bagi 112 mangsa yang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah blok kediaman di kejiranan Sabra pada November 2023, selepas mayat mereka berjaya dikeluarkan daripada timbunan runtuhan hampir dua tahun kemudian.

Mayat mangsa yang terdiri daripada anggota dua keluarga besar, Abu Sharia dan Hassayna, ditemukan hasil operasi pencarian dan penggalian selama dua minggu yang dijalankan oleh pasukan penyelamat di kawasan berkenaan.

Rakaman yang tular menunjukkan barisan keranda diselubungi bendera Palestin, manakala sebahagiannya turut dihiasi gambar mangsa sebelum diarak oleh ahli keluarga ke tanah perkuburan.

Upacara itu disifatkan antara pengebumian terbesar pernah diadakan di Gaza sejak konflik tercetus pada Oktober 2023.

Seorang waris mangsa, Ali Abu Sharia, berkata penemuan dan pengebumian mayat ahli keluarganya memberi sedikit kelegaan walaupun kesedihan akibat kehilangan mereka tidak pernah hilang.

“Kami akhirnya dapat menyempurnakan pengebumian mereka. Walaupun kesakitan masih ada, sekurang-kurangnya mereka kini dapat dikebumikan dengan sempurna,” katanya.

Menurut senarai mangsa, seramai 44 kanak-kanak, 38 wanita dan tujuh individu kurang upaya terbunuh dalam serangan yang berlaku pada 22 November 2023.

Kedua-dua keluarga terbabit merupakan sebahagian daripada komuniti yang menetap di kawasan sama ketika bangunan itu diserang.

Serangan tersebut berlaku ketika tentera Israel melancarkan operasi ketenteraan berskala besar di Semenanjung Gaza susulan serangan Hamas ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang serta menyaksikan 251 individu dijadikan tebusan.

Setakat ini, tentera Israel (IDF) belum mengeluarkan kenyataan berhubung sasaran sebenar serangan yang memusnahkan blok kediaman berkenaan.

Operasi mengeluarkan mayat dijalankan oleh Pasukan Pertahanan Awam Gaza dengan bantuan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), yang menyediakan peralatan keselamatan, beg mayat dan jentera pengorek bagi mempercepatkan kerja pencarian.

Jurucakap ICRC, Patrick Griffiths berkata, walaupun pengesahan kematian amat menyedihkan, proses itu penting bagi membolehkan keluarga mengetahui nasib orang tersayang dan memberikan penghormatan terakhir kepada mereka.

“Bagi keluarga, mengetahui nasib orang tersayang membolehkan mereka berkabung dan meneruskan kehidupan dengan cara mereka sendiri,” katanya.

Bulan lalu, media antarabangsa merakam permulaan operasi mencari mangsa di Sabra apabila jentolak digunakan untuk mengalihkan runtuhan sebelum pencarian diteruskan secara manual oleh pasukan penyelamat.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal berkata, bangunan bertingkat yang musnah itu dipercayai menempatkan lebih 180 orang awam ketika serangan berlaku.

Beliau berkata, ramai penghuni terkorban, namun pasukan penyelamat tidak dapat memasuki kawasan berkenaan pada hari kejadian kerana faktor keselamatan dan kekangan mendapatkan akses.

Bagi ahli keluarga mangsa, penemuan mayat yang tertimbus hampir dua tahun memberi peluang untuk menyempurnakan pengebumian yang sekian lama tertangguh.

Nahed al-Hassayna menunjukkan beberapa barangan milik mangsa yang ditemui di lokasi kejadian, termasuk beg sekolah dan kasut kanak-kanak.

“Kanak-kanak ini, apa kesalahan mereka?” katanya sambil menahan sebak.

Seorang lagi mangsa terselamat, Yousef Abu Sharia berkata, beliau kini menjadi satu-satunya anggota keluarganya yang masih hidup selepas kehilangan ibu, bapa, bapa saudara, sepupu dan ramai lagi ahli keluarga dalam tragedi itu.

Pihak berkuasa Gaza percaya puluhan lagi mayat masih tertimbus di kawasan sama, manakala ribuan individu di seluruh Semenanjung Gaza masih disenaraikan sebagai hilang dan dipercayai berada di bawah runtuhan bangunan akibat serangan udara yang berterusan.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 73,000 rakyat Palestin terbunuh sejak konflik bermula, sementara usaha mencari dan mengenal pasti mangsa masih diteruskan di beberapa kawasan yang musnah teruk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *