Bangga Tetapi Terluka, Pengakhiran Pahit Mesir Di Pentas Piala Dunia 2026
ATLANTA – Perjalanan Mesir pada saingan Piala Dunia berakhir di pusingan 16 terbaik selepas tewas 2-3 kepada Argentina, namun skuad kendalian Hossam Hassan tetap melakar pencapaian bersejarah buat bola sepak negara itu.
Mesir bagaimanapun menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap beberapa keputusan pengadil yang didakwa memberi kesan kepada keputusan perlawanan, termasuk pembatalan jaringan Mostafa Zico pada minit ke-62 selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Jaringan itu dibatalkan susulan insiden membabitkan Marwan Attia dan pertahanan Argentina, Lisandro Martinez, dalam gerakan yang membawa kepada gol berkenaan.
Pasukan dari Afrika Utara itu turut mendakwa sepatutnya diberikan sepakan penalti pada penghujung perlawanan selepas Mohamed Salah dikatakan dikasari di dalam kotak penalti, namun rayuan tersebut tidak dilayan pengadil.
Argentina kemudian menjaringkan gol kemenangan tidak lama selepas insiden berkenaan.
Dalam kenyataan rasmi, Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) menyifatkan beberapa keputusan penting sepanjang perlawanan menimbulkan persoalan mengenai konsistensi dan keadilan pengadilan.
“Beberapa insiden utama menimbulkan kebimbangan serius dan mencetuskan persoalan mengenai konsistensi serta keadilan keputusan yang secara langsung mempengaruhi perjalanan perlawanan,” menurut EFA.
Mesir bagaimanapun turut mensia-siakan kelebihan apabila gagal mempertahankan pendahuluan 2-0 ketika perlawanan berbaki kira-kira 11 minit.
Pendekatan bertahan yang diambil membuka ruang kepada Argentina untuk menguasai permainan sebelum bangkit menjaringkan tiga gol, termasuk jaringan kemenangan menerusi tandukan Enzo Fernandez hasil hantaran Lautaro Martinez.
Sepanjang kejohanan, Mesir menerima pujian atas disiplin taktikal mereka, khususnya dalam menyekat pengaruh Lionel Messi serta memanfaatkan kepantasan Mohamed Salah dan Omar Marmoush menerusi serangan balas.
Namun, berdepan Argentina, Hassan memilih pendekatan lebih terbuka apabila tidak menurunkan Marmoush dalam kesebelasan utama.
Mesir turut menerima tamparan apabila pemain tengah Emam Ashour mengalami kecederaan pangkal paha pada babak pertama dan terpaksa dikeluarkan ketika waktu rehat.
Walaupun tersingkir, Mesir tetap mencipta sejarah apabila meraih kemenangan pertama dalam penyertaan mereka di Piala Dunia selepas empat penampilan, selain berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan buat kali pertama sebelum mara ke pusingan 16 terbaik.
“Walaupun keputusan ini mengecewakan, kami tetap berbangga dengan pasukan ini. Keberanian, komitmen dan semangat juang yang dipamerkan sepanjang kejohanan mencerminkan nilai sebenar bola sepak Mesir,” menurut EFA.
Mesir menamatkan kempen Piala Dunia kali ini dengan reputasi yang semakin meningkat serta keyakinan mampu terus bersaing dengan kuasa besar bola sepak dunia pada masa hadapan.
