ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

LINDUNG 24 Jam Kekal Mandatori Pekerja Asing, Sukarela Buat Pekerja Tempatan

KUALA LUMPUR – Caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini dilaksanakan secara sukarela bagi pekerja tempatan, manakala caruman untuk pekerja asing kekal diwajibkan, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata keputusan itu dibuat Jemaah Menteri selepas mengambil kira pelbagai pandangan yang diterima daripada orang ramai berhubung pelaksanaan skim berkenaan.

Beliau berkata keputusan itu memberi pilihan kepada pekerja tempatan untuk menyertai skim tersebut mengikut keperluan dan pertimbangan masing-masing.

“Mekanisme pelaksanaan serta proses penyertaan secara sukarela bagi pekerja tempatan akan diumumkan oleh PERKESO dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramanan berkata, walaupun penyertaan pekerja tempatan tidak lagi diwajibkan, Skim LINDUNG 24 Jam kekal penting dalam menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja yang mengalami kemalangan di luar waktu dan tempat kerja, termasuk ketika menjalankan aktiviti harian.

Menurut beliau, usaha memastikan kebajikan dan perlindungan sosial tenaga kerja negara terus menjadi keutamaan PERKESO sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Beliau turut memaklumkan KESUMA akan meneliti semula mekanisme pelaksanaan skim berkenaan menjelang penghujung tahun ini.

Katanya, penelitian itu akan melibatkan aspek hala tuju dasar, keberkesanan pelaksanaan serta kemampanan dana bagi memastikan skim tersebut terus relevan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Sekiranya perlu, hasil penelitian itu akan dibentangkan di Parlimen sebagai cadangan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” katanya.

Ramanan berkata PERKESO akan terus memperhebat usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial, selain memastikan orang ramai memperoleh maklumat yang jelas dan tepat mengenai manfaat Skim LINDUNG 24 Jam bagi membantu mereka membuat keputusan yang sesuai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *