Netflix Perkenal Kandungan Video Pendek, Saingi TikTok Dan YouTube Shorts
SAN FRANCISCO – Netflix bakal memperluaskan penawaran kandungannya menerusi video pendek selepas memeterai beberapa perjanjian pelesenan dengan syarikat media utama di Amerika Syarikat.
Menurut laporan Variety, platform penstriman itu menjalin kerjasama dengan beberapa penerbit termasuk Penske Media, BuzzFeed Studios, Condé Nast, Hearst Magazines dan People Inc. bagi menawarkan kandungan berita, gaya hidup, selebriti serta kandungan berbentuk panduan (how-to).
Perkhidmatan itu dijadual diperkenalkan kepada pelanggan di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Australia dan New Zealand mulai 3 Ogos ini.
Kandungan yang ditawarkan merangkumi video berdurasi sekitar dua minit sehingga episod melebihi 20 minit, sekali gus membolehkan pelanggan menikmati pelbagai kandungan ringkas selain filem dan siri televisyen.
Antara jenama media yang bakal ditampilkan ialah Vanity Fair, Vogue, Rolling Stone, Bon Appétit, People dan Variety, dengan siri seperti Lie Detector, 30 Questions dan Know Their Lines?.
Naib Presiden Siri Animasi dan Kandungan Kanak-kanak serta Keluarga Netflix, John Derderian berkata pelanggan kini mahukan lebih banyak kandungan berkaitan rancangan, personaliti dan cerita yang diminati mereka walaupun selepas selesai menonton sesebuah siri atau filem.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi Netflix untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tabiat tontonan pengguna susulan persaingan sengit daripada platform video seperti YouTube dan TikTok.
Menurut firma penyelidikan Digital i yang dipetik TechCrunch, YouTube mengatasi Netflix dari segi purata tempoh tontonan harian pada 2025, manakala data eMarketer menunjukkan pengguna dewasa di Amerika Syarikat pada 2024 menghabiskan hampir tempoh masa yang sama di TikTok berbanding Netflix.
Sebagai respons terhadap perubahan itu, Netflix sebelum ini memperkenalkan antara muka baharu yang menampilkan suapan video menegak menyerupai TikTok, selain mengembangkan penawarannya kepada permainan video, podcast dan kandungan siaran langsung bagi meningkatkan penglibatan pelanggan.
Laporan Bloomberg pula menyebut data dalaman Netflix menunjukkan semakin ramai pelanggan berhenti menonton sesuatu siri sebelum memasuki musim kedua, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada model tontonan secara berterusan (binge-watching) yang menjadi identiti platform itu semakin dipengaruhi oleh trend kandungan video pendek.
