ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Sultan Selangor Tidak Perkenan Solat Jumaat Di Surau Pusat Beli-Belah

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak memperkenankan mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri ini diberikan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata ketetapan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif baginda sebagai Ketua Agama Islam Selangor dalam menentukan hal ehwal pentadbiran agama Islam, termasuk pemberian kebenaran mendirikan solat Jumaat.

Beliau berkata walaupun MAIS mengambil maklum cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara, pelaksanaannya di Selangor tertakluk kepada peruntukan undang-undang negeri.

“Penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid, surau atau musolla tertakluk kepada kebenaran bertulis MAIS mengikut Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Sehubungan itu, MAIS dimaklumkan bahawa baginda Sultan tidak memperkenankan mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor diberi kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salehuddin berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa pertimbangan, termasuk usaha memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam.

Menurut beliau, pemberian kebenaran kepada surau atau musolla di pusat beli-belah berpotensi mengurangkan kehadiran jemaah di masjid dan surau yang telah diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat.

Katanya, ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau yang dibenarkan mengadakan solat Jumaat di Selangor, dan jumlah itu disifatkan mencukupi bagi menampung keperluan umat Islam di negeri berkenaan.

“Selain itu, kebanyakan pusat beli-belah juga terletak berhampiran masjid atau surau yang memudahkan orang ramai menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata solat Jumaat merupakan ibadah yang mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam dan lebih sesuai dilaksanakan di masjid atau surau yang dikhususkan sebagai tempat ibadah berbanding surau atau musolla di pusat beli-belah yang lazimnya menjadi lokasi aktiviti perniagaan, hiburan dan rekreasi.

Katanya, tempoh rehat yang diberikan kepada pekerja juga mencukupi untuk membolehkan mereka menunaikan solat Jumaat di masjid atau surau berhampiran.

Salehuddin berkata pemberian kebenaran kepada surau atau musolla di pusat beli-belah turut memerlukan penelitian terhadap aspek pelantikan imam, bilal dan petugas lain, selain memastikan pengurusan serta tadbir urus mematuhi dasar dan peraturan yang ditetapkan MAIS.

Menurut beliau, jika petugas surau berkenaan tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyukarkan pemantauan termasuk memastikan keseragaman penyampaian khutbah Jumaat yang disediakan oleh majlis itu.

Beliau berkata ketika ini hanya sebuah surau di pusat beli-belah di Selangor diberikan kebenaran sementara untuk mendirikan solat Jumaat kerana tiada masjid berhampiran.

“Kebenaran sementara itu akan ditarik balik sekiranya sebuah masjid dibina berhampiran yang mampu menampung keperluan penduduk Islam setempat,” katanya.

Beliau berkata ketetapan Sultan Selangor itu selaras dengan usaha memperkukuh fungsi masjid sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu dan dakwah.

“MAIS menyeru seluruh umat Islam di Selangor agar terus mengimarahkan masjid dan surau supaya institusi itu kekal menjadi pusat perpaduan umat Islam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *