Hubungan Kerajaan Persekutuan Dan Johor Kekal Kukuh – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sepakat untuk terus mengekalkan hubungan baik demi kepentingan rakyat serta pembangunan negara.
Menurut Anwar, hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor juga akan terus diperkukuhkan melalui kerjasama yang lebih rapat dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata demikian selepas menghadap Tunku Mahkota Ismail dalam satu pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni di ibu negara malam tadi.
“Kami turut membincangkan perkembangan semasa serta perancangan berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.
“Pertemuan ini memberi ruang yang baik untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu, termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat, khususnya di Johor,” katanya dalam satu kenyataan.
Gambar pertemuan tersebut turut dikongsikan oleh Tunku Mahkota Johor menerusi akaun media sosial rasmi baginda.

Sebelum ini, pada 20 Jun lalu, Tunku Mahkota Ismail ketika sesi bersama rakyat Johor di Muar mengulas kenyataan Anwar yang menyifatkan Johor sebagai sebuah negeri kaya namun berdepan isu ketirisan.
Baginda bertitah bahawa Kerajaan Persekutuan wajar mengembalikan sebahagian hasil yang dikutip daripada Johor secara lebih munasabah bagi membolehkan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Menurut baginda, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan, namun hanya menerima pulangan sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk memenuhi keperluan hampir lima juta penduduk negeri itu.
“Sahabat saya, Perdana Menteri, baru-baru ini menyatakan Johor negeri kaya tetapi banyak ‘bocor’. Ya, memang banyak ‘bocor’. Kerajaan Persekutuan yang ‘membocorkan’ Johor,” titah baginda ketika itu.
Pertemuan terbaharu antara kedua-dua pemimpin dilihat sebagai langkah positif dalam memperkukuh hubungan antara Putrajaya dan Johor serta memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan bersama.
