ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Dua Beradik Pengasas Machino Tersenarai Dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2026

KUALA LUMPUR – Bermula sebagai perniagaan kecil ketika pandemik COVID-19, jenama kasut tempatan Machino kini mencipta satu lagi kejayaan apabila dua pengasasnya, Esther Tai Shen Hui dan Amy Tai Shuh Yuk, tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia Class of 2026.

Pengiktirafan berprestij itu diberikan kepada usahawan muda, inovator dan individu berpengaruh yang mencetuskan perubahan dalam pelbagai sektor di rantau Asia Pasifik.

Esther berkata, kejayaan tersebut merupakan pencapaian bermakna buat syarikat yang diasaskan pada tahun 2020 dengan matlamat menghasilkan kasut wanita yang menggabungkan elemen gaya dan keselesaan.

Menurutnya, idea penubuhan Machino tercetus daripada keinginan untuk menawarkan kasut bertumit dan kasut rata yang selesa dipakai sepanjang hari tanpa mengorbankan aspek fesyen.

“Kami bekerjasama dengan bapa saudara yang mengusahakan kilang kasut bagi menghasilkan produk yang benar-benar memberi tumpuan kepada keselesaan pengguna.

“Ramai pelanggan memberitahu mereka boleh memakai kasut Machino sepanjang hari untuk bekerja atau melakukan urusan harian. Itu antara pencapaian terbesar kami,” katanya.

Machino dipilih dalam kategori runcit dan e-dagang selepas berjaya membangunkan jenama yang menggabungkan fesyen moden dengan identiti budaya Malaysia.

Esther berkata, pengiktirafan Forbes itu bukan sahaja mengiktiraf dirinya dan Amy, malah seluruh pasukan yang bekerja keras membangunkan jenama tersebut sejak enam tahun lalu.

“Apabila tersenarai dalam Forbes, ia memberi keyakinan bahawa kami berada di landasan yang betul untuk membina jenama tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kini, Machino mempunyai kehadiran dalam talian serta dua premis fizikal di Putrajaya dan Selangor, selain menawarkan pelbagai produk termasuk kasut wanita, beg tangan, kasut kanak-kanak dan sandal lelaki.

Singapura menjadi pasaran antarabangsa pertama jenama itu, manakala matlamat jangka panjang syarikat adalah untuk membina jenama fesyen Asia yang diiktiraf di peringkat global.

Menurut Esther, keunikan Machino terletak pada penggunaan elemen budaya tempatan dalam reka bentuk produknya, termasuk inspirasi daripada batik, songket, broked Cina dan renda sari.

“Setiap pasang kasut dihasilkan secara buatan tangan dan menampilkan identiti Malaysia yang unik. Kami mahu reka bentuk tempatan dilihat sebagai sesuatu yang bernilai dan membanggakan,” katanya.

Beliau menjelaskan nama Machino sendiri membawa maksud perpaduan masyarakat Malaysia, dengan ‘MA’ merujuk kepada Melayu, ‘CH’ kepada Cina, ‘IN’ kepada India dan ‘O’ mewakili lain-lain kaum.

Selain memberi tumpuan kepada pembangunan produk, syarikat itu turut mengamalkan model perniagaan terus kepada pengguna menerusi laman web rasmi, TikTok Shop dan beberapa premis runcit terpilih bagi memastikan operasi lebih cekap dan kos dapat dikawal.

Dalam pada itu, Esther mengakui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) membantu syarikat mempercepatkan proses kerja termasuk penyelidikan pasaran, pembangunan idea dan penyediaan bahan latihan.

“AI membantu kami bekerja dengan lebih efisien, namun keputusan akhir tetap dibuat oleh manusia. Teknologi ini membolehkan pasukan memberi lebih tumpuan kepada kerja yang bernilai tinggi,” katanya.

Pemilihan Forbes 30 Under 30 Asia 2026 melibatkan hampir 4,000 pencalonan dari 18 negara dan wilayah di Asia Pasifik, dengan calon dinilai berdasarkan impak, inovasi, kreativiti serta pencapaian dalam bidang masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *