Agong Kurnia Biasiswa Kepada 14 Penerima Cemerlang
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2026 kepada 14 pelajar cemerlang dalam satu majlis penganugerahan yang berlangsung di Istana Negara hari ini.
Penganugerahan berprestij itu melibatkan tujuh penerima di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan tujuh lagi di peringkat Sarjana (Penyelidikan), dengan empat daripada mereka akan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka luar negara manakala selebihnya meneruskan pengajian di universiti penyelidikan tempatan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Menurut Wan Ahmad Dahlan, BYDPA merupakan biasiswa paling berprestij yang ditawarkan kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), selain menyediakan pembiayaan tertinggi berbanding biasiswa lain yang ditawarkan oleh kerajaan.
Beliau berkata, daripada 14 penerima yang dipilih tahun ini, seramai 13 orang hadir menerima biasiswa tersebut manakala seorang lagi, Waywen Loh Chang Yuan, tidak dapat hadir kerana telah memulakan pengajian di University of Oxford, United Kingdom.
“Kita berharap semua penerima biasiswa ini akan kembali menyumbang kepakaran kepada negara dalam bidang masing-masing, khususnya bidang strategik seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sains serta kecerdasan buatan (AI).
“Kita juga akan terus memantau perkembangan akademik mereka supaya pengajian dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya kepada media selepas majlis berkenaan.
Bagi kategori PhD, penerima terdiri daripada Afiefah Zulkifli (Pemakanan, Universiti Putra Malaysia), Aiman Zakwan Azman (Farmakologi dan Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia), Chua Hui Qi (Matematik dan Statistik, Universiti Putra Malaysia), Giroon Ijod (Pemakanan, Universiti Putra Malaysia), Haimon Franklin (Biologi, Universiti Kebangsaan Malaysia), Lee Yu Shi (Catalysis, Universiti Malaya) serta Waywen Loh Chang Yuan (Immunology, University of Oxford).
Sementara itu, penerima di peringkat Sarjana (Penyelidikan) ialah Amirul Haziq Azwan (Biologi, University College London), Chan Ler Yie (Farmakologi dan Farmasi, University College London), Chris Ee Jia Wen (Genetik dan Keturunan, Universiti Sains Malaysia), Lim Fang (Biokimia, Universiti Kebangsaan Malaysia), Mohamad Izuwansah Ishak (Persekitaran, Universiti Putra Malaysia), Muhammad Zulhusni Che Razali (Persekitaran, Imperial College London) dan Putri Najihah Athirah Zamrifana (Sains Veterinar, Universiti Putra Malaysia).
Sejak diperkenalkan pada tahun 2006, BYDPA telah menaja seramai 239 pelajar cemerlang melibatkan 124 penerima di peringkat PhD dan 115 penerima Sarjana (Penyelidikan) dalam pelbagai bidang strategik negara termasuk STEM, ekonomi, undang-undang, kewangan Islam dan AI.
Salah seorang penerima, Chua Hui Qi dari Johor Bahru yang kini mengikuti pengajian PhD dalam bidang Matematik dan Statistik di Universiti Putra Malaysia berkata, pengiktirafan itu merupakan satu amanah besar yang mendorongnya untuk terus cemerlang dalam bidang penyelidikan.
Beliau yang menjalankan kajian berkaitan isu banjir di Malaysia berkata penyelidikannya menggunakan kaedah statistik dan data sedia ada bagi membantu kerajaan merancang langkah tebatan banjir yang lebih berkesan.
“Saya berharap dapat menjadi penyelidik dan pensyarah pada masa depan serta menggalakkan lebih ramai pelajar memohon biasiswa ini kerana peluang yang diberikan amat bernilai,” katanya.
Seorang lagi penerima, Muhammad Zulhusni Che Razali yang kini bertugas sebagai Jurutera Daerah Dungun berkata, biasiswa itu merupakan tanggungjawab besar untuk beliau menyumbang kepakaran dalam bidang pengurusan dan mitigasi banjir.
“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menggalas amanah ini dan memanfaatkan ilmu yang diperoleh demi kesejahteraan negara,” katanya.
