ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

PRN NS: Teka-Teki 11 Kerusi ‘Rakan’ BN Terjawab, PN Umum Baki Calon

SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) malam tadi melengkapkan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dengan mengumumkan 11 calon yang akan bertanding pada 1 Ogos ini.

Pengumuman itu sekali gus melengkapkan kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), susulan pengumuman 25 calon oleh Barisan Nasional (BN) pada malam sebelumnya.

Senarai calon PN diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pengumuman Calon PN di Markas PAS Kampung Ismail, Ampangan.

Berdasarkan agihan kerusi, PAS akan bertanding di lima DUN, Parti Wawasan Negara (WAWASAN) di empat kerusi, manakala Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) masing-masing di satu kerusi.

PAS mengekalkan tiga penyandang iaitu Mohd Fairuz Mohd Isa di DUN Serting, Kamarol Ridzuan Mohd Zain di DUN Paroi dan Abdul Fatah Zakaria di DUN Bagan Pinang.

Parti itu turut mempertaruhkan dua muka baharu, iaitu bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang akan bertanding di DUN Ampangan, serta Dr P. Kumar Al Paramasivam di DUN Lobak.

Mohamad Rafie akan cuba merampas semula kerusi Ampangan yang pernah dimenanginya ketika mewakili PKR.

Sementara itu, WAWASAN mempertaruhkan Danni Rais di DUN Klawang, Datuk Razali Abu Samah di DUN Sikamat, Erik Michael di DUN Mambau serta penyandang DUN Gemas, Ridzuan Ahmad.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden WAWASAN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau dan Presiden MIPP, P. Punithan.

Senarai calon PN bagi PRN Negeri Sembilan:

Jelebu

  • N04 Klawang – Danni Rais (WAWASAN)

Jempol

  • N05 Serting – Mohd Fairuz Mohd Isa (PAS)

Seremban

  • N11 Lobak – Dr P. Kumar Al Paramasivam (PAS)
  • N13 Sikamat – Datuk Razali Abu Samah (WAWASAN)
  • N14 Ampangan – Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek (PAS)

Rasah

  • N21 Bukit Kepayang – Lee Boon Shian (GERAKAN)
  • N23 Mambau – Erik Michael (WAWASAN)

Rembau

  • N25 Paroi – Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PAS, penyandang)

Port Dickson

  • N30 Lukut – Sathes Kumar Nilameham (MIPP)
  • N31 Bagan Pinang – Abdul Fatah Zakaria (PAS, penyandang)

Tampin

  • N34 Gemas – Ridzuan Ahmad (WAWASAN, penyandang)

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini, diikuti pengundian awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *