ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

Larian Kesyukuran Syed Saddiq Kumpul RM54,692 Pada Hari Pertama

KUALA LUMPUR – Hari pertama Larian Kesyukuran yang dianjurkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM54,692, sekali gus menghampiri sasaran keseluruhan RM200,000.

Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, Syed Saddiq meluahkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa yang diberikan orang ramai sepanjang laluan larian dari Putrajaya ke Salak Tinggi sebelum menamatkan hari pertama di Labu.

Menurut beliau, orang ramai sanggup menunggu di sepanjang jalan untuk memberikan sokongan, menghulurkan tangan serta mendoakan kejayaannya.

“Sepanjang perjalanan dari Putrajaya ke Salak Tinggi ada orang menunggu di tepi jalan untuk memberikan semangat, menghulurkan tangan dan mendoakan kami.

“Tetapi apabila sampai di Labu, saya langsung tidak sangka melihat lautan manusia yang masih menunggu walaupun sudah malam. Saya mungkin orang yang berlari, tetapi perjalanan ini digerakkan oleh anda semua,” katanya.

Sebelum ini, Syed Saddiq memulakan misi Larian Kesyukuran sejauh kira-kira 170 kilometer dari Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya menuju ke Muar, Johor sebagai tanda kesyukuran selepas berjaya membersihkan nama dan maruahnya melalui proses perundangan yang berlarutan selama enam tahun.

Larian amal yang berlangsung selama empat hari itu turut membawa misi kebajikan dengan sasaran mengumpulkan RM200,000 bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar.

Menurut beliau, program itu juga menjadi simbol penghargaan kepada institusi kehakiman negara yang telah memberikan keadilan kepadanya.

“Di sinilah saya mendapatkan semula maruah dan integriti serta membersihkan nama saya selepas enam tahun berjuang mendapatkan keadilan.

“Dana yang dikumpulkan menerusi larian ini akan digunakan untuk membeli iPad kepada mahasiswa yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, selain menyediakan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata kutipan pada hari pertama merupakan permulaan yang memberangsangkan dan berharap lebih ramai rakyat Malaysia tampil menyokong usaha berkenaan.

Beliau turut mengajak orang ramai menyumbang menerusi laman rasmi lariankesyukuranmuar.com bagi membantu mencapai sasaran kutipan RM200,000 demi kebajikan masyarakat di Parlimen Muar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *