Lelaki Thailand Pandu SUV Masuk Kolam Renang Selepas Ibu Enggan Bayar Sewa Kondo
BANGKOK – Seorang lelaki warga Thailand dilaporkan bertindak memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ke dalam kolam renang di Universiti Chulalongkorn selepas dipercayai bertengkar dengan ibunya berhubung bayaran sewa kondominium.
Kejadian itu berlaku di kawasan kolam renang berhampiran Bangunan Sasapol dan mencetuskan kekecohan dalam kalangan warga kampus selepas sebuah SUV putih dilihat terjunam ke dalam air.
Menurut laporan media tempatan, lelaki berusia 29 tahun yang dikenali sebagai Chin dipercayai meminta bantuan ibunya untuk membayar sewa kondominium yang didiaminya. Bagaimanapun, permintaan tersebut didakwa ditolak sebelum berlaku pertikaian antara mereka.
Susulan itu, Chin dikatakan memandu ke kawasan universiti sebelum menuju ke arah kolam renang berkenaan.
Pengawal keselamatan dilaporkan cuba menghalang kenderaan tersebut, namun lelaki itu dipercayai terus memecut sebelum merempuh pagar keselamatan dan memasuki kolam.
Polis dari Balai Polis Pathum Wan yang tiba di lokasi mendapati SUV tersebut berada dalam keadaan separa tenggelam. Bahagian hadapan kenderaan dilaporkan mengalami kerosakan, manakala tiga pintu kenderaan didapati terbuka.
Pemandu terbabit mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Charoenkrung Pracharak untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Setakat ini, keadaan mangsa masih belum didedahkan kepada umum. Pihak berkuasa juga masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat penumpang lain di dalam kenderaan ketika kejadian berlaku.
Kes tersebut kini menjadi perhatian selepas gambar dan video SUV putih berada di dalam kolam renang tular di media sosial.
