Kempen Internet Selamat Di Kota Kinabalu Tampil Kelainan Guna Teknologi VR
KOTA KINABALU – Lebih 500 penduduk dan pengunjung memeriahkan Program Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Daerah Kota Kinabalu 2026 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Gelanggang Futsal Kampung Darau Laut, hari ini.
Karnival tersebut tampil dengan kelainan menerusi pengenalan pengalaman pembelajaran keselamatan internet berasaskan teknologi Realiti Maya (VR), yang membolehkan peserta memahami ancaman siber secara lebih interaktif dan mendalam.
Menurut MCMC, inisiatif perintis itu diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko dalam talian serta menggalakkan penggunaan internet yang lebih selamat, beretika dan bertanggungjawab.
“Pendekatan pembelajaran berasaskan VR ini menawarkan pengalaman yang lebih imersif dan berkesan dalam membantu masyarakat memahami cabaran dunia digital serta langkah perlindungan yang perlu diambil ketika berada dalam talian,” menurut kenyataan MCMC.
Program berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud yang turut meluangkan masa melawat reruai pameran dan menyantuni komuniti setempat yang hadir.
Selain menampilkan elemen teknologi dan keselamatan siber, karnival tersebut turut mengangkat warisan budaya tempatan menerusi pertandingan nyanyian lagu Bajau Samah serta pertandingan e-sukan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia.
Bagi memperkukuh literasi digital masyarakat, program itu turut menampilkan sesi Podcast Live bertemakan “Internet Selamat Tanggungjawab Bersama” yang menghimpunkan panel daripada pelbagai bidang.
Antara panel yang terlibat ialah Roziah Abdul Rashid dari Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Prof. Madya Dr. Rozita@Uji Mohammed yang merupakan Rektor UiTM Cawangan Sabah serta Unduk Ngadau Kaamatan Negeri Sabah 2026, Gelvia Vanessa Jenny.
Menurut MCMC, sesi berkenaan memberi fokus kepada aspek keselamatan siber, tanggungjawab pengguna internet serta kepentingan kerjasama semua pihak dalam mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan kondusif.
“Penganjuran program ini selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh perlindungan pengguna di alam siber, termasuk menerusi pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026,” menurut kenyataan itu.
MCMC turut menegaskan bahawa Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam memperkasa masyarakat dengan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran digital yang diperlukan bagi menghadapi cabaran dunia siber yang semakin kompleks.
Menurutnya, kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemimpin komuniti, ibu bapa dan masyarakat amat penting dalam membina ekosistem digital yang lebih selamat, bertanggungjawab dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat.
