2,432 Aduan Isu Dalam Talian Direkodkan Di Sabah Bukti Ancaman Siber
KOTA KINABALU – Sebanyak 2,432 aduan berkaitan isu dalam talian direkodkan di Sabah, menunjukkan ancaman jenayah siber masih menjadi cabaran yang perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu melibatkan pelbagai kes termasuk penipuan dalam talian dan penggodaman akaun.
“Bagi kes penipuan dalam talian sahaja, sebanyak 321 aduan direkodkan pada tahun lalu dan 152 aduan lagi setakat suku kedua 2026.
“Manakala bagi kes penggodaman, sebanyak 159 aduan direkodkan pada tahun lalu dan 30 aduan setakat suku kedua tahun ini.
“Statistik ini mengingatkan kita bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa sekiranya tidak mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Daerah Kota Kinabalu di sini, Sabtu.
Mustapha, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata ibu bapa dan golongan muda perlu lebih peka terhadap pelbagai ancaman siber yang semakin berleluasa seiring perkembangan teknologi digital dan penggunaan Internet dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pengguna Internet berupaya melindungi diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.
“Menerusi penganjuran karnival ini, masyarakat setempat dapat diberi pendedahan mengenai risiko yang wujud di alam maya termasuk kes buli siber, penipuan dalam talian dan penggodaman yang semakin membimbangkan.
“Objektif utama program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa dan anak-anak tentang keselamatan siber. Pada masa kini, kita melihat semakin banyak kes berkaitan buli siber, scam dan penggodaman berlaku ketika pengguna melayari Internet.
“Justeru, program seperti ini penting untuk mendidik masyarakat mengenai langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.
