NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Cucu Allahyarham Nik Aziz, Datuk Azhar Ahmad Sepakat Berdamai, Mohon Maaf

KOTA BHARU – Cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi dan Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad sepakat menyelesaikan kemelut antara mereka secara baik selepas insiden yang didakwa berlaku dalam satu program universiti di Pahang bulan lalu.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan kedua-dua pihak, mereka memaklumkan telah mencapai persefahaman dan memilih jalan perdamaian demi semangat ukhuwah, saling menghormati serta kepentingan bersama.

Menurut kenyataan itu, kedua-duanya turut saling memohon dan menerima permohonan maaf berhubung salah faham yang timbul susulan kejadian yang didakwa berlaku ketika menghadiri program di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 20 Mei lalu.

“Kami telah mengadakan perbincangan secara mesra dan mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perkara ini secara baik tanpa meneruskan sebarang pertikaian yang berpanjangan.

“Perbincangan tersebut turut disertai beberapa individu lain termasuk Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz,” menurut kenyataan berkenaan.

Mereka juga bersetuju untuk tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan, komen atau mengambil tindakan yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak berkaitan insiden tersebut.

Dalam masa sama, Nik Alif Aiman dan Azhar merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memainkan peranan dalam membantu mencapai penyelesaian secara harmoni.

Kedua-duanya turut berharap hubungan sesama masyarakat dapat terus dipelihara dalam suasana penuh hormat, berhemah dan berlandaskan nilai keharmonian.

“Menerusi kenyataan ini, kami menganggap perkara ini telah diselesaikan secara muktamad dan berharap semua pihak menghormati keputusan serta privasi yang telah dipersetujui,” kata mereka.

Sebelum ini, media melaporkan Nik Alif Aiman mendakwa ditampar oleh seorang bekas senator ketika menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.

Menurut dakwaannya, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 6 petang selepas tamat sesi ceramah program berkenaan.

Bagaimanapun, Azhar menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa beliau hanya menyentuh pipi Nik Alif Aiman sebagai tanda kemesraan kerana menganggapnya seperti anak saudara kepada seorang sahabat rapat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *