Penyelam Temukan 1,400 Tulang Mangsa Kes Bunuh Dalam Tasik Taal
MANILA – Pasukan penyelam berjaya menemukan kira-kira 1,400 tulang manusia di dasar Tasik Taal dalam operasi pencarian yang sedang berlangsung, menurut Kumpulan Forensik Polis Kebangsaan Filipina (PNP).
Pengarah Kumpulan Forensik PNP, Kolonel Pierre Carpio berkata, semua tulang yang ditemui kini menjalani pelbagai proses pemeriksaan dan analisis forensik bagi mengenal pasti identiti serta kaitannya dengan kes orang hilang yang sedang disiasat.
Menurut beliau, ujian yang dijalankan meliputi analisis perubatan forensik, antropologi, pengimejan radiografi, pergigian serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
“Dengan jumlah tulang yang begitu banyak serta keadaan bukti yang telah terjejas akibat faktor persekitaran di Tasik Taal, kami menggunakan pendekatan pemeriksaan berulang bagi memastikan setiap bahan bukti dianalisis secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita, seperti dilaporkan akhbar The Manila Times.
Penemuan itu dikaitkan dengan pendedahan seorang suspek yang kini bertindak sebagai pemberi maklumat, Julie Patidongan, yang sebelum ini mendakwa berpuluh-puluh mayat peminat sabung ayam yang hilang telah dibuang ke dalam Tasik Taal.
Menurut dakwaannya, tindakan itu dilakukan atas arahan seorang individu dikenali sebagai Charlie Ang, yang dipercayai menjadi dalang utama di sebalik siri pembunuhan tersebut.
Sejak tahun lalu, anggota Pengawal Pantai Filipina menjalankan operasi pencarian secara intensif di Tasik Taal, yang terletak di wilayah Batangas, susulan maklumat berkaitan kehilangan sejumlah individu yang mempunyai kaitan dengan aktiviti sabung ayam.
Dalam perkembangan sama, Charlie Ang bersama 21 individu lain, termasuk beberapa anggota dan pegawai polis, telah didakwa di tiga mahkamah berasingan di Batangas dan Laguna atas pelbagai pertuduhan termasuk pembunuhan, penculikan serta penahanan secara haram.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa serta mengesahkan identiti tulang yang ditemui melalui proses analisis forensik. – AGENSI
