NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Politik

Ahli Politik Jaga Tutur Kata, Jangan Salah Guna Kebebasan Bersuara – Agong

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah agar semua pemimpin politik sentiasa menjaga adab, tutur kata serta berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya ketika negara menghampiri musim pilihan raya.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa ahli politik tidak seharusnya menjadikan isu sensitif berkaitan raja, agama dan kaum sebagai bahan provokasi demi meraih sokongan rakyat.

“Jangan mencetuskan provokasi atau pertikaian mengenai isu-isu sensitif yang melibatkan raja, bangsa dan agama kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat.

“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” titah Baginda pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, serta perwakilan asing.

Dalam titahnya, Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara di media sosial tidak seharusnya disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah, kebencian dan maklumat palsu yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Menurut Baginda, cabaran itu menjadi semakin serius apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk menghasilkan kandungan palsu, termasuk video ‘deepfake’ yang memaparkan suara dan imej tiruan.

Baginda turut melahirkan rasa dukacita apabila gambar Baginda sendiri digunakan dalam kandungan palsu yang bertujuan mengelirukan masyarakat.

Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menitahkan pihak berkuasa agar mempertingkatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas bagi mengekang penyebaran kandungan sedemikian.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan tahun ini.

Baginda mengingatkan bahawa penganugerahan tersebut bukanlah untuk bermegah-megah, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin untuk terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan kepada agama, bangsa dan negara.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan hari ini.

“Saya dan isteri turut mengucapkan terima kasih atas doa serta sokongan rakyat yang sentiasa mengiringi amanah yang dipikul sebagai Ketua Negara.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar Malaysia terus dilimpahi rahmat, keamanan dan kemakmuran, serta rakyatnya sentiasa hidup dalam suasana harmoni, sejahtera dan bersatu padu,” titah Baginda.

Istiadat pengurniaan tahun ini merupakan kali ketiga disempurnakan oleh Sultan Ibrahim sejak ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.

Secara keseluruhan, seramai 161 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *