Krisis bekalan: Jun–Julai mungkin jadi ujian sebenar ekonomi Malaysia
Malaysia dijangka berdepan tempoh mencabar sekitar Jun hingga Julai ini apabila kesan sebenar krisis rantaian bekalan global mula dirasai, kata Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Nurhisham Hussein.
Menurut beliau, ketika ini banyak kilang masih beroperasi seperti biasa kerana menggunakan stok bahan mentah yang dibeli lebih awal. Namun, keadaan itu disifatkan hanya sementara sebelum kesan sebenar gangguan bekalan mula muncul apabila stok sedia ada semakin berkurangan.
Beliau menjelaskan, masalah utama bukan pada permintaan pengguna, sebaliknya berpunca daripada gangguan bekalan bahan mentah, bahan kimia, komponen, logistik serta kos input industri yang semakin meningkat dan sukar diperoleh.
“Bila stok lama habis dan bekalan baharu lewat atau mahal, kilang akan mula tertekan,” katanya, sambil menjangkakan syarikat mungkin mengurangkan waktu kerja, operasi atau pengeluaran jika situasi berlarutan.
Tambah beliau, gangguan di peringkat kilang boleh memberi kesan rantaian kepada pasaran pengguna termasuk kelewatan bekalan barang, peningkatan harga serta tekanan kepada kos sara hidup rakyat.
Beliau turut memberi contoh mudah bahawa banyak produk harian bergantung kepada rantaian bekalan kompleks yang tidak kelihatan oleh pengguna, termasuk bahan kimia, pembungkusan, logistik dan komponen industri.
Menurutnya lagi, kesan ini lazimnya tidak berlaku secara serta-merta, sebaliknya berlaku secara berperingkat bermula dengan penipisan stok, gangguan penghantaran, sebelum akhirnya memberi kesan kepada harga dan ketersediaan barang di pasaran.
“Jun dan Julai mungkin jadi tempoh penting untuk kita lihat sama ada tekanan ini bersifat sementara atau mula memberi kesan lebih meluas kepada ekonomi,” katanya.
Beliau menegaskan, situasi ini bukan untuk menimbulkan panik, sebaliknya sebagai peringatan awal supaya industri dan dasar negara bersedia menghadapi kemungkinan perubahan dalam rantaian bekalan global.
