PUTRAJAYA – Unit anjing pengesan atau K9 akan mula menjalankan rondaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 26 Oktober ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan dan membanteras aktiviti penyeludupan.
Menurut Malaysia Airports, penugasan unit K9 itu merupakan sebahagian daripada 17 langkah keselamatan yang dipertingkatkan bagi mengesan bahan terlarang serta barangan seludup di kawasan lapangan terbang.
Rondaan akan meliputi kawasan balai berlepas, balai ketibaan dan kemudahan pengisihan bagasi. Anjing pengesan akan membantu pemeriksaan terhadap bagasi serta mengenal pasti bahan terlarang, termasuk dadah dan barangan seludup.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata kerjasama itu akan memperkukuh pemantauan bersama agensi berkaitan, selain membolehkan pasukan keselamatan penerbangan memberi tumpuan kepada tanggungjawab utama mereka.
Pelaksanaan awal turut melibatkan penyesuaian prosedur operasi dan akses ke kawasan larangan bagi memastikan rondaan dapat dijalankan dengan teratur tanpa mengganggu pergerakan penumpang.
Sumber : BERNAMA









