Home / Malaysia / TERPERANGKAP DI TINGKAT ATAS, DUA BERADIK TERMASUK KANAK-KANAK OKU MAUT DALAM KEBAKARAN

TERPERANGKAP DI TINGKAT ATAS, DUA BERADIK TERMASUK KANAK-KANAK OKU MAUT DALAM KEBAKARAN

TAWAU – Tragedi menyayat hati berlaku di Taman Ria, Tawau apabila dua beradik, termasuk seorang kanak-kanak autisme berusia 10 tahun, ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran rumah teres dua tingkat awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa terdiri daripada seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dan adik perempuannya berusia 10 tahun. Kedua-duanya ditemukan di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.13 pagi sebelum menggerakkan 16 anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.

Menurut beliau, enam individu berada di dalam rumah ketika kebakaran berlaku. Empat daripadanya, iaitu ibu dan ahli keluarga lain, berjaya menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba.

Bagaimanapun, dua beradik berkenaan masih terperangkap dan usaha menyelamat dilakukan ketika anggota bomba memadamkan kebakaran.

Rumah teres dua tingkat jenis kekal itu dilaporkan mengalami kemusnahan kira-kira 70 peratus. Operasi ditamatkan pada jam 9.06 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sumber/ Foto : Sinar Harian

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *