Solat Jumaat Di Outreach Oasis Bukit Bintang Bermula Hari Ini
KUALA LUMPUR – Umat Islam di sekitar kawasan Bukit Bintang kini boleh menunaikan solat Jumaat di Outreach Oasis Bukit Bintang bermula hari ini susulan kelulusan khas yang diberikan bagi membolehkan ibadah berkenaan dilaksanakan di lokasi tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan berkata, kemudahan itu disediakan secara sementara sementara menunggu pembinaan surau Jumaat kekal di kawasan berkenaan disiapkan.
Menurut beliau, pelaksanaan solat Jumaat di Outreach Oasis Bukit Bintang merupakan satu perkembangan penting yang dapat memudahkan umat Islam, khususnya mereka yang bekerja atau berada di kawasan tumpuan pelancong itu, menunaikan kewajipan mingguan tanpa perlu bergerak jauh.
“Dengan izin Allah dan kelulusan khas yang diberikan, solat Jumaat kini boleh dilaksanakan di Outreach Oasis Bukit Bintang buat sementara waktu sehingga surau Jumaat kekal siap dibina.
“Selepas ini, umat Islam tidak lagi perlu tergesa-gesa atau berdepan kesesakan untuk mencari lokasi solat Jumaat yang berhampiran,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau turut mengajak masyarakat Islam, khususnya warga Bukit Bintang dan kawasan sekitarnya, untuk hadir memeriahkan pelaksanaan solat Jumaat di lokasi berkenaan sebagai simbol sokongan terhadap usaha memperkasa syiar Islam di pusat bandar.
“Marilah kita memenuhi saf dan menunjukkan sokongan padu kepada usaha mengimarahkan syiar Islam. Hari Jumaat adalah hari yang penuh keberkatan untuk merehatkan minda, menyucikan jiwa dan mendekatkan diri kepada Allah,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan sedang berusaha mewujudkan sebuah surau Jumaat yang lebih selesa dan lengkap di Bukit Bintang bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di kawasan tumpuan pelancongan dan perniagaan tersebut.
