Sekolah, Expo Juga Anjur ‘Rumah Hantu’, Kenapa Nak Pelik?
KOTA BHARU – Pengasas produk yang menganjurkan majlis sambutan hari lahir bertemakan ‘Perkampungan Bunian’ di kediamannya baru-baru ini menyerahkan siasatan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).
Farhana Zahra atau dikenali sebagai Cikna berkata, dia sudah memberi keterangan di pejabat JAHEAIK untuk penilaian jabatan berkenaan.
“Saya suka dengan cara ini iaitu dipanggil untuk siasatan tanpa menilai daripada video yang tular semata-mata.
“Yang mana masih lagi berterusan menghukum, menghina ibarat saya buat dosa terang-terangan seperti minum arak, buat maksiat, berpakaian seksi tu saya minta hentikanlah, sebab kita semua diuji.
“Anggap lah ini satu pelajaran untuk kita semua, saya yakin ramai yang tak tahu. Jadi bila perkara ni berlaku sama-sama kita belajar.
“Saya buat ‘rumah hantu’ di rumah sebab saya tidak pernah mendengar isu tentang rumah hantu itu salah. Ini kerana di sekolah atau mana-mana expo pun ada rumah hantu. Ramai juga yang menganjurkan tema bunian sebelum ini cuma bezanya ia tidak tular,” katanya menerusi Facebook tadi.
Jelasnya dia bersyukur apabila perkara berkenaan tular dan mendapat pandangan pelbagai pihak.
“Masyarakat boleh belajar sesuatu yang sebelum ini sudah terbiasa dilakukan (segelintir) umat Islam.
“Yang mana kecam dan hina saya, saya maafkan semua dan semoga kita semua tergolong dalam ahli syurga,” katanya.
Media semalam melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) spada peringkat akhir melengkapkan kertas siasatan kes seorang usahawan kosmetik di negeri ini didakwa menganjurkan majlis sambutan ulang tahun kelahiran bertema ‘Perkampungan Bunian’, baru-baru ini.
Majlis itu yang diadakan di kediamannya di Tumpat sempena ulang tahun kelahiran tiga anak perempuannya itu dikatakan mencecah kos RM500,000.
Pengasas produk berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019.
